Sayyid Basyir bin Syed Mohd Norhisyam |
Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuannya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sifat golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga . Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya !! Na’uuzubillah. Moga Allah melindungi kita semua.
Imam Muslim meriwayatkan satu hadith daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :“Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka, aku belum pernah melihat mereka ; iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka ( sanggul / fesyen rambut ) bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh”. ( Kitab Pakaian dan Perhiasan , bab Perempuan Berpakaian Tetapi Telanjang, no 3971 ). Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadis ini iaitu:”...bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan” ( Kitab Muwatto’, bab Apa Yang Dilarang Wanita Memakainya, no 1421 ).
KAKAK 28 TAHUN MEMAKAI BAJU ADIK 8 TAHUN
Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut di dalam hadith di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang ? Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa ada beberapa makna , antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau ia memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya. Di dalam Kitab Al-Muntaqa ( Syarah Muwatto’ Imam Malik ) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya pada hari ini para kakak yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun ! Memakai baju dengan trend see through , kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutup rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian yang ketat. Wahai kaum hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkah kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.
Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang yang melihatnya terpesona dan tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur di zaman jahiliah, di mana mereka memperkenalkan diri mereka dan menarik perhatian para pelanggan dengan imej sebegini. Sheikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama’ dari negara Yaman menerangkan tentang kalimah ( مميلات ) yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith ini adalah isim faa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung hayang ketika berjalan.
KESAN NEGATIF
1- Menyusahkan para isteri : Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumahtangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak di dalam rumahtangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.
2- Gangguan seksual terhadap golongan lelaki : Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan seseorang lelaki. Dalam hadith tersebut menyatakan :”sehingga senget orang lelaki yang melihatnya.” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.
3- Mendedahkan diri sendiri kepada bahaya di dunia :Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya ialah apabila golongan lelaki terlalu tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Ada kalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilempiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sendiri sebagai mangsa !
4- Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.
SUKAR UNTUK BERUBAH
Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang merasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri !! Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan. Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.
Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walaupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari...
** ( senget = menurut kamus dewan edisi 4 tahun 2007 , bermakna condong , miring , tinggi sebelah )
Assalamualaikum
ReplyDeleteSaya suka topik ini, tapi xde butang LIKE nk di tekan.
Ada berusaha berubah ke arah kebaikan
Insyaallah
Wassalam
menarik sekali perumpamaan di baris akhir entry ustaz ini..
ReplyDeletesemoga Allah mempermudahkan perjalanan dakwah ustaz..amin