Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang |
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” Ungkapan ini adalah suatu laungan jahiliah yang dipegang begitu erat oleh masyarakat Arab sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w. Di dalam kitab Fathu al-Baari, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa orang pertama yang menyebut ungkapan ini ialah Jundub bin al-Anbar bin Amru, yang kemudiannya menjadi satu prinsip kepada masyarakat jahiliah. Mereka bersungguh-sungguh membantu kaum mereka atas nama perkauman, bukan sahaja yang menjadi mangsa kezaliman tetapi juga apabila kaum mereka yang melakukan kezaliman. “Oleh kerana mereka adalah kaum kita, maka kita mesti membantu mereka walaupun mereka dengan jelas sedang menzalimi orang lain!” Inilah jahiliah.
Imam Bukhari (no 2263) dan Muslim (no 4681) meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah s.a.w menyebut ungkapan yang sama. Para sahabat kehairanan, lalu bertanya “Memang kita perlu bantu saudara kita yang kena zalim, tapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman ?” Maka jawab Rasulullah s.a.w “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim” Baginda telah menggunakan perkataan yang sama tetapi memberi satu penafsiran yang berbeza. Ini adalahn salah satu method dakwah Rasulullah s.a.w yang sangat menarik dalam menganjak paradigma berfikir masyarakat ketika itu. Mungkin kita boleh mengaplikasikannya sekarang dengan memberi penafsiran islamik kepada ungkapan-ungkapan yang diwarisi daripada generasi awal. Sebagai contohnya, ungkapan “Biar mati anak, jangan mati adat” boleh ditafsirkan dengan sanggup kematian anak demi mempertahankan adat yang menepati syariat dan perintah agama sebagaimana kisah Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anak sendiri demi melaksanakan perintah Allah.
ISLAM MENOLAK KEZALIMAN
Para ulama’ mentakrifkan zalim dengan “meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Ia berlawanan dengan kalimah adil yang ditakrifkan dengan “meletakkan sesuatu kena pada tempatnya”. Islam telah mengatur pelbagai sistem bagi kesejahteraan hidup manusia di dunia ini samada dalam bidang kekeluargaan, ekonomi, politik, kemasyarakatan, jenayah, hubungan dengan bukan Islam dan sebagainya. Perbuatan mengutamakan sistem yang diambil dari timur atau barat yang tidak menepati Islam bererti mengenepikan cara yang dianjurkan oleh Allah dan meletakkannya sebagai bahan kajian teori semata-mata. Ini termasuklah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Islam sepatutnya menjadi “decision maker” dalam semua urusan kehidupan, tetapi hanya diletakkan di pinggir. Sesiapa yang melakukan tindakan ini adalah tergolong dalam takrifan melakukan kezaliman. Sekiranya ada di kalangan saudara kita yang menjadi mangsa, mereka mesti dibantu. Demikian juga, sekiranya yang melakukannya tergolong dari kalangan bangsa kita sendiri, maka kita mesti membantunya dengan cara berusaha bersungguh-sungguh menghalangnya.
Islam mengiktiraf bahawa usaha menghalang kezaliman adalah sebagai suatu ibadah. Bahkan terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang mengkategorikan menentang kezaliman adalah termasuk dalam jihad yang paling afdhal. Baginda bersabda “Berkata benar di hadapan penguasa yang zalim adalah jihad yang paling agung”. ( Sunan al-Tarmizi,no 2100, Sunan al-Nasa’ie,no 4138 , Sunan Abi Daud, no 3781 ). Sepanjang sejarah umat Islam, para ulama’ telah merealisasikan tugas mulia ini walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai golongan masyarakat yang masih enggan meninggalkan kezaliman yang mereka lakukan. Ada di antara mereka yang dihalau keluar dari negeri asalnya seperti Imam Bukhari, ada yang terpenjara seperti Imam Shafei dan Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah, ada yang diseksa seperti Imam Ahmad bin Hanbal, ada yang dituduh menyeleweng dari agama seperti Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan pelbagai rintangan yang tercatat dengan tinta emas para sejarawan Islam. Demikianlah amanah mulia ini pasti akan terus dipikul oleh golongan yang dipilih oleh Allah sehingga ke akhir hayat bumi ini sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.
PERINGKAT-PERINGKAT MENENTANG KEZALIMAN
Dalam membantu saudara kita yang berlaku zalim, Rasulullah s.a.w telah memberikan suatu panduan berdasarkan kemampuan fizikal dan kekuatan iman seseorang. Sabda baginda dalam sebuah hadis yang masyhur “Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah mengubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka ubahlah dengan lidah dan sekiranya tidak mampu, ubahlah (benci) dengan hati, maka itu adalah selemah-lemah iman” ( Imam Muslim, no 70 ).
Dalam kitab Dalil al-Faalihin, Imam Ibnu ‘Allaan menyatakan bahawa peringkat iman tertinggi adalah apabila seseorang menentang kemungkaran yang berlaku dengan menggunakan kekuatan fizikal. Generasi awal Islam sangat bersungguh-sungguh merealisasikannya kerana kesempurnaan iman menjadi cita-cita tertinggi mereka. Apabila Saidina Omar dilantik menjadi khalifah, beliau telah menyampaikan ucapan sulongnya kepada umat Islam yang menjelaskan dasar-dasar kepimpinannya. Salah satu perkara yang disebut ialah “sekiranya kamu melihat aku menyeleweng, maka perbetulkanlah diriku…” Tiba-tiba di dalam majlis rasmi bersama ketua negara itu, bangun seorang pemuda sambil mengangkat pedangnya lalu berteriak “Sekiranya Omar menyeleweng daripada perintah Allah, aku akan perbetulkannya dengan pedangku ini !” Spontan khalifah ini menjawab “Alhamdulillah, ada yang akan perbetulkan Omar apabila ia menyeleweng (melakukan kezaliman).”Ada juga tafsiran tentang “mengubahnya dengan tangan” bererti memperbetulkannya dengan menggunakan kekuasaan yang dimiliki. Justeru itu, berusaha mendapatkan kekuasaan dengan matlamat menghapuskan kezaliman adalah merupakan suatu ibadat yang mulia.
Peringkat kedua ialah dengan menggunakan lidah iaitu menasihati secara lisan. Inilah yang banyak dilakukan oleh para ulama’ sepanjang sejarah Islam. Termasuk di peringkat ini juga ialah melalui lidah-lidah pena. Membantu saudara-saudara yang melakukkan kezaliman dengan menegur mereka melalui tulisan-tulisan samada buku, artikel, majalah dan sebagainya. Ada yang melakukannya secara sinis, ada secara direct to the point ataupun pelbagai lagi cara berdasarkan kemahiran masing-masing. Nama-nama seperti Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali sangat terkenal dengan penulisan-penulisan mereka. Disusuli pada zaman mutaakhir ini seperti As-Syahid Sayyid Qutub, Dr Yusof al-Qardhawi dan ramai lagi.
Peringkat terakhir ialah membenci kezaliman dengan hati. Di dalam kitab Nuzhatul Muttaqiin diterangkan bahawa di antara hikmah membenci di dalam hati ialah supaya kita sentiasa mewujudkan perasaan dendam dan kemarahan apabila melihat kemungkaran dan kezaliman di samping sentiasa timbul perasaan untuk menghapuskannya. Ada riwayat yang menyebut sekiranya di dalam hati pun tiada perasaan benci kepada kezaliman, ini bermakna sudah tiadanya iman di dalam hati seseorang itu. Membenci di dalam hati adalah pilihan terakhir kerana ia adalah selemah-lemah iman. Malangnya dalam bab menentang kemungkaran, ramai yang memilih selemah-lemah iman sedangkan dalam bab-bab yang lain mereka sentiasa berusaha menjadi yang paling kuat. Salah satu tongkat ali untuk menguatkan iman ialah dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.
Assalamualaikum ustz. saya nak bertanya tntg hadith yang "bantulah otg yg zalim" tu. dalam fathul bari, dalam jilid berapa dan bab apa ye?
ReplyDelete