![]() |
Syed Mohd Norhisyam al-Idrus |
POTONG TANGAN PENCURI
Motosikal
dicuri. Kabel elektrik dicuri. Duit tabung masjid dicuri. Besi penutup longkang
dicuri. Duit di dalam akaun juga ada yang dicuri. Pelbagai kes kecurian
berlaku, apakah kesudahannya ? Bagaimana mengatasinya ? Jawapannya hanya satu,
iaitu memotong tangan pencuri. Imam Bukhari (no hadis 6788) dan Imam Muslim (no
hadis 1688) meriwayatkan bahawa seorang perempuan dari qabilah besar dan sangat
dihormati di kalangan masyarakat Mekah, iaitu qabilah Bani Makhzuum telah
disabitkan kesalahan mencuri. Lalu Quraisy begitu bimbang sekiranya perempuan
bangsawan ini dipotong tangannya lalu mereka berbincang untuk mencari seseorang
bagi memujuk Rasulullah s.a.w agar tidak menjatuhkan hukuman tersebut.
Akhirnya, mereka memilih Usamah bin Zaid bin Harithah untuk tugas itu kerana
beliau adalah cucu angkat kesayangan baginda s.a.w. Setelah Usamah menyatakan
perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, baginda terus menjawab dengan tegas “
Adakah kamu ingin memberi syafaat ( memujuk diriku agar tidak menjatuhkan
hukum) dalam perlaksanaan hukum Allah ini ??” Lalu baginda bangun mengadap
orang ramai dan menyampaikan satu ucapan yang bermaksud “Sesungguhnya umat terdahulu sebelum
kamu telah binasa kerana apabila golongan atasan dan bangsawan di kalangan
mereka melakukan kesalahan, mereka dibiarkan. Apabila golongan bawahan dan
rakyat biasa melakukan kesalahan, hukuman yang ditetapkan oleh Allah ( hudud ) dilaksanakan
ke atas mereka. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad ( s.a.w) mencuri,
nescaya aku pasti akan memotong tangannya !”. Menurut Imam al-Qurtubi,
perempuan daripada Bani Makhzuum itu bernama Murrah binti Suffian bin Abdil
Asad dan dia adalah wanita pertama yang dijatuhkan hukuman potong tangan oleh
Rasulullah s.a.w. kerana disabitkan kesalahan mencuri. (Tafsir al-Jaami’ li
Ahkaam al-Quran- surah al-Maa’idah ; ayat 38 )
KEJAM
Ada
pandangan yang mengatakan bahawa hukuman ini adalah kejam. Sebenarnya tindakan
memotong tangan seseorang memanglah kejam, tetapi sekiranya orang itu adalah
seorang pencuri, maka hukuman tersebut amatlah sesuai. Ia bersifat memberi
pengajaran kepada pencuri dan masyarakat sekeliling serta memberi peluang
kepada pencuri untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru.Sesiapa yang tidak
mencuri atau tidak berniat untuk mencuri
tidak perlu bimbang kerana hukuman ini hanyalah istimewa untuk para pencuri
sahaja. Bayangkan seorang ayah yang mengumpul duit saban bulan untuk membeli
sebuah motosikal bagi kegunaan anak sulongnya yang baru melanjutkan pengajian
di universiti, tiba-tiba motosikal itu dicuri ! Tanpa disedari, ada yang pernah
menjadi mangsa pencuri telah mengeluarkan ungkapan “Kalau aku jumpa pencuri
keretaku, akan kucincang sehingga mati !” Ada juga yang menyebut “Kalau dapat
ditangkap orang gaji yang mencuri barang kemasku itu, akan kutikam sampai
hancur !”. Para pembaca boleh bertanya mangsa-mangsa kecurian, apa yang akan
mereka lakukan sekiranya dapat menangkap pencuri tersebut
PREVENTION IS BETTER THAN CURE.
Islam hadir dengan membawa suatu penyelesaian yang sederhana di
dalam segenap aspek kehidupan manusia. Hukumannya bukan sahaja bersifat
setimpal dengan kesalahan tetapi ia juga mengandungi unsur pencegahan. Allah
berfirman yang bermaksud “ dan orang
lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah
tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan,
(juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (
Surah al-Maa’idah ; 38 ). Walaubagaimanapun, seseorang pencuri
tidak terus dipotong tangannya melainkan setelah cukup syarat-syaratnya seperti
kadar nilaian barang curian, tersimpan di tempat yang selamat dan beberapa isu
lain yang diperincikan di dalam kitab-kitab fekah.
Para pengkaji di dalam bidang perundangan amatlah digalakkan untuk
membuat kajian perbandingan berkenaan aspek “prevention (pencegahan) ”
yang terkandung di dalam undang-undang jenayah Islam dan juga undang-undang
ciptaan manusia. Sekiranya masyarakat menyaksikan seseorang yang telah sabit
kesalahan mencuri dipotong tangannya di khalayak ramai, pastinya tersemat satu
perasaan gerun ke dalam hati mereka untuk melakukan jenayah yang sama. Begitu
juga apabila pesalah yang dijatuhkan hukuman tersebut meneruskan kehidupan
seharian dalam keadaan sebelah tangannya
terpotong, pasti akan menjauhkan dirinya daripada mengulangi jenayah
mencuri lagi. Bahkan masyarakat yang berurusan dengannya akan sentiasa
mengambil iktibar setiap kali melihat pencuri tersebut dalam keadaan terpotong tangannya. Hukuman ini
akan menyebabkan pencuri itu insaf dan bertaubat, lalu ia akan terselamat di
akhirat nanti. Inilah keindahan islam. Seseorang yang melakukan kesalahan mesti
dihukum, tetapi di dalam masa yang sama ruang untuk membaiki diri terbuka luas
sebagaimana firman Allah di dalam sambungan ayat di atas yang bermaksud “Maka
sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (mencuri) itu dan
memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya (selepas dipotong
tangannya) kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah
al-Maa’idah ; 39 ) Masyarakat juga boleh hidup dengan tenang dan aman daripada
ancaman golongan yang berkarier sebagai pencuri ini.
No comments:
Post a Comment