HUKUM HAKAM BERKAIT ANAK ANGKAT

Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang

Amalan mengambil anak angkat telah dilakukan sejak sebelum kedatangan Islam. Pelbagai faktor menyebabkan manusia mengambil dan memelihara anak angkat. Sebelum kedatangan Islam, anak angkat dianggap seperti anak sendiri tanpa sebarang peraturan atau displin yang menjadi garis panduan dalam perkara ini. Kehadiran Islam tidak pernah menghalang amalan ini, tetapi telah membawa satu sistem yang sempurna bagi menjamin hak kedua-dua belah pihak dan juga menggariskan batas-batas pergaulan serta mengandungi unsur-unsur spiritual yang utuh.

Oleh kerana anak angkat pada asalnya adalah seorang yang asing kepada keluarga angkatnya, maka sudah pasti apabila ia dewasa, akan timbul persoalan berkenaan aurat, bersama-sama keluarga angkat di dalam rumah, bersalaman dan sebagainya. Ketika itu hukumnya adalah seperti orang-orang asing yang lain iaitu haram mendedahkan aurat, bersentuhan dan bersunyian di rumah. Bagaimanakah situasi ini dapat diharungi sedangkan perasaan kasih sayang sebagai anggota keluarga telah lama berputik. Setelah hidup dalam sebuah rumah selama bertahun-tahun, terlalu sukar bagi seorang gadis apabila terpaksa menutup aurat di dalam rumah sendiri di kala kehadiran “ayah”nya.

Maka Rasulullah s.a.w telah mengemukakan satu solusi, iaitu amalan penyusuan. Baginda bersabda “Sesuatu yang haram disebabkan nasab, juga menjadi haram disebabkan penyusuan”.(Muslim,no 2616). Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Nawawi berkata “ Hukum anak yang menyusu telah menjadi seperti anak kepada yang menyusukannya dan haram mereka berkahwin selama-lamanya. Halal pula bagi si anak melihat ibu susuannya, bersamanya di rumah dan bermusafir dengannya, seperti bersama ibunya sendiri.” Setelah sempurna penyusuan, hukum anak angkat menjadi seperti anak kepada ibu yang menyusukannya.

Bagi memudahkan perbincangan, penulis cuba mengemukakan contoh. Pasangan Ahmad dan Ros telah mengambil anak angkat bernama Ali. Setelah penyusuan sempurna, Ali diharamkan berkahwin dengan (1)Ros, (2) anak-anak perempuan Ros,(3) ibu dan kakak atau adik perempuan Ros dan juga (4) anak-anak perempuan Ahmad serta (5)ibu dan kakak atau adik perempuan Ahmad. Ketika ini, anak-anak Ros atau Ahmad telah menjadi adik beradik susuan Ali, manakala adik beradik Ros dan Ahmad telah menjadi bapa dan ibu saudara susuan kepada Ali. Hukum berkait aurat, bersentuhan, bermusafir dan sebagainya adalah seperti anak atau adik beradik biasa. 

Imam Bukhari ( no 5103) dan Muslim (no 1445) meriwayatkan satu peristiwa yang berlaku kepada Aishah r.a, katanya “Aflah, saudara lelaki kepada Abu Qu’ais telah meminta izin untuk masuk ke rumahku lalu aku tidak mengizinkannya sehingga aku bertanya Rasulullah s.a.w kerana yang menyusukan daku adalah isteri kepada Abu Qu’ais, bukannya Aflah. Baginda menjawab “Izinkan Aflah masuk, sesungguhnya ia adalah bapa saudaramu wahai Aishah.”


PENYUSUAN YANG SEMPURNA

Terdapat 2 syarat utama yang menyebabkan penyusuan dianggap sempurna dan menjadikan hukum anak angkat seperti anak sendiri :

1)      Penyusuan berlaku sebelum bayi berumur 2 tahun. Ia berdasarkan hadis mauquf kepada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Darul Qutni “Tidak dikira penyusuan melainkan sebelum bayi berumur 2 tahun.” Ibnu ‘Aamir al-San’aani berkata di dalam kitabnya Subul al-Salam bahawa penyusuan tidak dianggap sempurna kecuali dalam tempoh 2 tahun pertama bayi tersebut.
2)      Bayi mestilah menyusu paling kurang sebanyak 5 kali kenyang. Ini berdasarkan hadis mauquf kepada Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ( no 1452 ) katanya,“Pada peringkat awal penurunan al-Quran, penyusuan yang sempurna adalah 10 kali yang mengenyangkan kemudian ia dinasakhkan (dibatalkan) hukumnya kepada 5 kali kenyang, sehinggalah Rasulullah s.a.w diwafatkan.” Di dalam kitab Subul al-Salam juga diterangkan bahawa penyusuan yang mengenyangkan dikira apabila bayi mula menyusu dan berhenti dengan sendiri apabila ia kenyang. Sekiranya terhenti disebabkan bersin, terbatuk atau sendawa, kemudian menyambung penyusuannya, ia masih dikira sekali.

IBU ANGKAT TIDAK MEMPUNYAI SUSU

                Ramai yang mengambil anak angkat disebabkan tidak mempunyai zuriat setelah lama berkahwin. Oleh kerana mereka tidak mengandung, maka tidak mempunyai susu untuk dilakukan penyusuan kepada anak angkatnya. Kepada mereka ini, ada 3 nasihat penting, moga-moga dimanfaatkan.

1)      Fahamilah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah kepada anda. Ada pasangan yang diuji memiliki zuriat, tetapi mengidap penyakit yang kronik. Ada pula yang diuji dalam bentuk anaknya yang sihat, tetapi menagih dadah apabila dewasa. Ada juga diuji dengan anak yang membesar dengan sihat dan berjaya, tetapi derhaka kepada orang tuanya. Sesungguhnya kehidupan ini adalah medan ujian Allah terhadap hambaNya dalam musafir menuju akhirat yang kekal. Teruskan usaha dan jangan lupa berdoa kepadaNya.
2)      Ibu angkat diharuskan memakan ubat yang mengeluarkan hormon bagi menghasilkan susu dengan syarat mendapat nasihat daripada doktor muslim yang pakar dan amanah.
3)      (Sila rujuk kepada contoh nama di atas). Ali disusukan oleh kakak atau adik perempuan Ros supaya Ali menjadi anak saudara susuan Ros. Atau sekiranya anak angkat itu perempuan, maka ia disusukan oleh kakak atau adik perempuan Ahmad, supaya ia menjadi anak saudara susuan Ahmad.


1 comments:

  1. Assalamualaikum wbt Ustaz,
    Saya mempunyai persoalan yang memerlukan penjelasan daripada ustaz berkenaan hukum mahram.
    Situasi:-
    Ali mempunyai adik susuan bernama Siti (disusukan oleh ibu Ali)
    Apabila dewasa Siti berkahwin dan mempunyai anak kandung perempuan bernama Leha serta anak angkat dan dijadikan anak susuannya bernama Mimi.

    Soalan saya.
    Apakah hukum mahram diantara Ali (abang susuan Siti) dengan anak-anak siti.
    1. Leha (anak kandung Siti)
    2. Mimi (anak susuan Siti)

    Terima kasih

    ReplyDelete