Pada suatu hari, seorang sahabat yang baru memeluk Islam datang berjumpa Rasulullah s.a.w dalam keadaan masih ada salib yang diperbuat daripada emas tergantung di lehernya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Wahai ‘Adi , tanggalkan keberhalaan di lehermu.” Baginda membaca ayat 31, surah al-Taubah yang bermaksud : Mereka (ahli kitab) telah menjadikan paderi-paderi Yahudi dan pendita-pendita Nasrani sebagai tuhan selain Allah.” Adi yang merupakan seorang bekas pembesar kaumnya dan juga penganut agama Nasrani berkata : “Wahai Rasulullah, kami tidak pernah mempertuhankan mereka (paderi Yahudi dan pendita Nasrani). Baginda menjelaskan “Sesungguhnya apabila para paderi dan pendita menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah, maka para pengikut mentaati mereka. Demikian juga apabila mereka mengharamkan perkara yang Allah izinkan, ahli kitab lebih taat dan berpegang dengan hukum baru yang diputuskan oleh paderi tersebut. Inilah yang dimaksudkan bahawa mereka mempertuhankan manusia.(Tarmizi,no 3095).
Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (syarah sunan Tarmizi) dinyatakan bahawa ayat yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w kepada ‘Adi bin Hatim adalah larangan keras terhadap amalan taqlid dalam beragama dan larangan daripada berpegang dengan pandangan manusia sekiranya bercanggah dengan hukum-hakam di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan aqidah yang mewajibkan umat Islam agar mentauhidkan Allah dalam menentukan hukum-hakam dan undang-undang dalam kehidupan manusia. Firman Allah dalam surah Yusof,ayat 40, “Sesungguhnya hak membuat hukum/perundangan hanyalah milik Allah.” Para paderi Yahudi dan pendita Nasrani telah merampas hak ketuhanan dalam membuat hukum hakam lantas mengubahnya sesuka hati. Apabila para pengikut lebih cenderung mentaati hukum-hukum baru tersebut, maka rasulullah s.a.w menyimpulkan bahawa mereka telah bertuhankan manusia, iaitu pembuat-pembuat hukum baru itu.
PANDANGAN IMAM IBNU KATHIR
Dalam menafsirkan ayat 50, surah al-Maidah, al-Hafiz Ibnu Kathir r.a berkata “Allah mengingkari mereka yang berpaling daripada hukumNya yang muhkam dan mengandungi segala kebaikan serta menyekat segala bentuk kejahatan, lantas menuju kepada hukum lain yang merupakan pendapat, kehendak dan istilah rekaan manusia yang tidak bersumberkan syariat Allah. Sebagaimana golongan jahiliah menghukum dengan hukum-hukum yang sesat berdasarkan akal dan hawa nafsu, begitu juga orang-orang Tatar (bangsa Mongolia) menghukum dengan undang-undang hak milik yang diambil daripada raja mereka Janghez Khan yang telah membuat undang-undang hasil sedutan dan campuran agama-agama Yahudi, Nasrani dan Islam. Kebanyakan hukum telah disusun mengikut akal dan nafsu mereka semata-mata. Maka jadilah undang-undang itu seolah-olah sebagai syariat yang mesti ditaati kepada generasi seterusnya dan ia mengatasi undang-undang yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Maka sesiapa yang berbuat demikian, ia telah menjadi kafir serta wajib diperanginya sehingga ia kembali kepada hukum Allah dan rasulNya s.a.w lalu tidak menghukum dengan undang-undang lain, samada dalam perkara kecil atau besar.”
RASULULLAH AKAN POTONG TANGAN FATIMAH
Ummul Mukminin Aishah r.a menceritakan bahawa seorang perempuan dari kalangan bangsawan (Bani Makhzuum) telah disabitkan kesalahan mencuri lantas ahli keluarganya mencari cucu angkat kesayangan Rasulullah s.a.w, Usamah bin Zaid yang disangkakan boleh memujuk baginda agar meringankan hukuman ke atasnya. Apabila Usamah menyatakan permintaan tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda, “Adakah kamu ingin memberi syafaat (memohon diringankan hukuman) dalam perkara hudud (hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Allah)? Sesungguhnya telah binasa golongan terdahulu kerana apabila para pembesar melakukan kesalahan, mereka tidak dikenakan hukuman, tetapi apabila rakyat biasa yang lemah melakukan kesalahan, rakyat tersebut terus dihukum. Demi Allah, sekiranya Fatimah anakku mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya !”. (Bukhari,no 2505 dan Muslim,no 4505).
Baginda telah menyatakan kesediaan untuk tetap berpegang dengan hukum Allah walaupun terpaksa melaksanakannya ke atas anak kesayangannya iaitu Fatimah. Di sini terserlah keadilan Islam dan hukumnya yang menyeluruh tanpa mengira pangkat dan latar belakang keluarga. Bahkan kesempurnaannya terserlah dengan sifatnya yang bukan sahaja mengutamakan penyelesaian tetapi juga mengandungi pencegahan terhadap masalah-masalah yang timbul daripada terus berulang.
PELBAGAI JENAYAH
Realiti masyarakat kita pada hari ini dipenuhi dengan pelbagai bentuk jenayah yang menghantui kehidupan. Laporan di dada-dada akhbar harian sangat menggerunkan dan menambah stress dalam menjalani kehidupan. Bunuh, rogol, rompak, ragut, pecah rumah, kecurian, penzinaan, pembuangan bayi, perjudian dan sebagainya menjadi wirid harian pembaca-pembaca berita di televisyen. Persoalannya kenapakah situasi ini berpanjangan ? Bahkan kelihatan bertambah parah dari hari ke hari. Adakah kita sanggup membiarkan generasi anak-anak dan cucu kita mengharungi situasi yang lebih buruk dan mengerikan ini ? Maka setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah wajib menggerakkan langkahnya untuk melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar dengan kadar kemampuan masing-masing samada dalam bentuk penulisan, percakapan, politik, ekonomi, keilmuan dan sebagainya.
PENYELESAIAN
Sebelum mencari penyelesaian, selidikilah punca setiap masalah yang berlaku. Telitilah dengan hati yang tulus, buatlah pertimbangan dengan berasaskan keimanan bahawa setiap tindak tanduk kita akan mengundang balasan Allah di akhirat kelak. Renungikan amaran Rasulullah terhadap golongan yang telah mengubah hukum hakam Allah dianggap sebagai mengambil tuhan yang lain. Inilah sebenarnya punca segala kepincangan dan kerosakan di atas muka bumi ini. Allah yang merupakan pencipta manusia dan alam ini pasti Maha Mengetahui sikap dan perangai manusia. Allah juga Maha Mengetahui ‘penyakit-penyakit’ jiwa dan sosial yang bakal menimpa mereka dan iman juga menyimpulkan bahawa penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia dewasa ini, pastinya dengan cara setiap pihak mestilah benar-benar kembali kepada Allah.
No comments:
Post a Comment