PELURU TERAKHIR UMMAT ISLAM

Syed Mohd Norhisyam al-Idrus

Hasbunallah wa ni’mal wakiil adalah peluru terakhir para pejuang Islam. Ungkapan yang penuh makna tersirat ini terkeluar daripada mulut hamba-hamba Allah yang mempunyai iman yang teguh, pada saat yang getir dan dikelilingi pelbagai ancaman. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada sepupu Rasulullah s.a.w, Abdullah bin Abbas r.a bahawa beliau telah berkata  bahawa ungkapanحسبنا الله و نعم الوكيلtelah diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s ketika dihumbankan oleh kaumnya yang memusuhi dakwah baginda ke dalam api yang marak menyala. Ungkapan ini juga disebut oleh Rasulullah s.a.w ketika dimaklumkan kepada baginda berkenaan sekumpulan tentera yang hebat sedang bersiap sedia untuk menggempur umat islam (surah Al-Imran,ayat 173).” (al-Bukhari,no 4287 )

MAKNA UNGKAPAN

Di dalam kitab ‘Umdatul Qaari syarah Sohih al-Bukhari, diterangkan bahawa makna ungkapan ini ialah cukuplah Allah bagi kita (sebagai penolong) dan Dialah sebaik-baik wakil (pihak untuk kita bertawakkal). Inilah sebenarnya hakikat penyerahan diri yang bulat kepada Allah. Setelah segala perancangan dan strategi dakwah telah dilaksanakan, maka langkah terakhir ialah berserah serta bergantung sepenuhnya kepada Allah terutamanya ketika ancaman sedang memuncak. Kebiasaannya musuh memiliki kelengkapan yang hebat dan jumlah bala tentera yang besar. Mereka bergantung sepenuhnya kepada dua faktor ini. Adapun golongan mukmin, walaupun kelengkapan materialnya lebih kecil jika dibandingkan dengan musuh, tetapi pergantungan kepada Allah Yang Maha Kuasa telah memberi kelebihan kepada mereka. Malangnya apabila golongan Islam kurang bergantung kepada Allah dan merasa cukup dengan senjata dan strategi yang diatur, maka ini menjadi punca kelemahan dan kekalahan.

SITUASI NABI IBRAHIM a.s.

Kisah Nabi Ibrahim terlalu banyak di dalam al-Quran. Sheikh Muhammad Fuad Abdul Baaqi menyatakan di dalam kitab beliau al-Mu’jam al-Mufahras li alfaaz al-Quran bahawa nama Nabi Ibrahim disebut sebanyak 69 kali di dalam 25 surah al-Quran. Adapun peristiwa yang sedang kita bincangkan di sini diabadikan kisahnya di dalam surah al-anbiya’ bermula ayat 51 hingga 71. Ia berlaku pada zaman awal dakwah baginda iaitu di negeri Babil (Babylon). Dalam menyampaikan ajaran Islam, baginda terpaksa berhadapan dengan ayahnya sendiri , masyarakat dan pemerintah ketika itu. Ayat-ayat di dalam surah al-anbiya merakamkan dialog dan penghujahan nabi Ibrahim dengan mereka yang kesemuanya berakhir dengan kemenangan hujah baginda. Menjadi lumrah golongan yang jahat dan busuk hatinya sepanjang sejarah kemanusiaan, apabila mereka tewas berhujah, maka kekasaran menjadi pilihan. Nabi Ibrahim ditangkap dan diheret ke suatu tempat yang telah dinyalakan api yang begitu marak. Baginda terpaksa berhadapan dengan lawan yang sangat ramai, maka daya sebagai manusia tidak mampu untuk menghadapinya. Api semakin mengganas, kaumnya bersorak kegembiraan kerana mereka bakal menyaksikan si anak muda yang menongkah arus penyembahan berhala dulu, kini dan selamanya akan hangus dibakar seketika nanti. Maka dalam keadaan getir inilah, terbukti pergantungan hati yang hebat kepada Allah lantas terkeluar daripada mulut baginda ungkapan hasbunallah wa ni’mal wakiil. Maka Allah yang menjadikan api bersifat panas dan membakar telah memerintahkan api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar, lalu terselamatlah Nabi Ibrahim a.s. Pertolongan Allah muncul dengan cara yang tidak disangka-sangka !

SITUASI NABI MUHAMMAD s.a.w

Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda diberitahu bahawa tentera Quraisy yang dikepalai oleh Abu Sufyan yang ramai dan lengkap bersenjata sedang bersiap sedia untuk menyerang ( Al-Imran,ayat 173 ). Terdapat dua riwayat tentang peperangan tersebut. Riwayat pertama menyatakan bahawa ia adalah perang Hamra’ al-Asad yang berlaku sebaik sahaja perang Uhud berakhir. Riwayat kedua pula menyatakan ianya berlaku dalam perang Badar al-Sughra yang tercetus setahun selepas perang Uhud. Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan hujah kedua-dua riwayat tersebut kerana perkara yang lebih penting di sini ialah teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan musuh dan propaganda-propaganda mereka. Mereka akan sentiasa menyebarkan serangan-serangan psikologi untuk melemahkan semangat umat Islam sehingga adakalanya berjaya menggoncangkan pendirian sebahagian umat islam yang lemah imannya. Walaupun diwar-warkan betapa ramainya bala tentera musuh dan hebatnya kelengkapan mereka, Rasulullah s.a.w dan golongan mukmin dengan penuh yakin menegaskan bahawa pertolongan Allah pasti mengatasi segalanya.

SITUASI KITA

Setiap mukmin yang peka dengan perkembangan Islam bahkan turut sama menggembling tenaga serta wang ringgit untuk menyebarkan Islam pasti akan berhadapan dengan musuh-musuh yang sentiasa berusaha memadamkan cahaya Allah di atas muka bumi ini. Musuh pada zaman moden kini pastinya lebih hebat dan canggih peralatan mereka. Mereka melakukan serangan dari segenap penjuru samada serangan pemikiran melalui media-media yang dikuasai, serangan ekonomi, persenjataan dan teknologi. Maka dalam situasi ini, setelah segala persiapan dan strategi yang disusun rapi, golongan mukmin akan sentiasa tidak lupa untuk mencontohi Nabi Ibrahim a.s dan Rasulullah s.a.w bahawa peluru terakhir kita adalah hasbunallah wa ni’mal wakiil.

1 comment:

  1. Alhamdulillah,jazakAllah berkongsi dengan kami =)

    ReplyDelete