ISRA’ MIKRAAJ TIDAK LOGIK !!



Syed Mohd Norhisyam Bin Tuan Padang
              Sebenarnya isra’ mikraaj tidak logik apabila difikirkan oleh AKAL manusia yang lemah, tetapi ia memang benar-benar berlaku sekiranya dinilai oleh IMAN. Inilah di antara pengajaran terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan-keadaan penghuni syurga dan neraka. Keputusan yang dibuat oleh IMAN  mestilah mengatasi AKAL, sebagaimana yang telah direalisasikan oleh Saidina Abu Bakar yang menatijahkan pangkat “Al-Siddiq” kepada beliau. 

                Peristiwa ini telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w sendiri dengan panjang lebar dan telah diriwayatkan oleh tokoh-tokoh muktabar di dalam ilmu hadis. Bahkan Imam Bukhari dan Imam Muslim telah membuat satu bab mengenai al-Isra’ di dalam kitab masing-masing. Imam Muslim meriwayatkan di dalam Kitab Iman, bab Isra’ (no 234) daripada Anas bin Malek , sesungguhnya Rasulullah s.a.w  telah bersabda : Sesungguhnya telah didatangkan kepadaku Buraq (berwarna putih, saiznya tinggi, melebihi keldai dan lebih kecil dari daripada baghal) lalu aku menunggangnya sehingga tiba di Bait al-Muqaddis, aku menambatnya di halaqah pintu Masjid al-Aqsa, kemudian aku masuk ke dalamnya dan menunaikan solat 2 rakaat. Seterusnya aku keluar dan Jibril telah datang dengan dua bekas yang mengandungi arak dan susu, lantas aku memilih bekas yang mengandungi susu. Jibril berkata “Engkau telah memilih fitrah”.

                Hadis ini agak panjang bahkan kepelbagaian riwayat-riwayat lain menjadikannya lebih menarik dan mengandungi banyak hikmah yang boleh digali. Walaubagaimanapun saya tidak bermaksud menghuraikannya satu persatu di sini. Hanya satu iktibar yang ingin dikongsi bersama pembaca, iaitu apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadis) maka orang mukmin mestilah mengutamakan nas. Inilah hakikat iman. 

                IMAN vs AKAL

                Di dalam Kitab Sirah Ibnu Hisham, disebut bahawa wujudnya individu-individu yang telah murtad disebabkan peristiwa isra’ mikraaj. Mereka telah mengutamakan akal dalam menilai peristiwa ini. Mana mungkin, perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa sebulan pergi dan sebulan balik, didakwa oleh rasulullah s.a.w hanya belaku dalam satu malam sahaja. Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang sangat unggul apabila terus mengenepikan logik akal apabila mendengar ungkapan Rasulullah s.a.w dan ayat al-Quran (surah al-Isra’,ayat 1) berkenaan peristiwa tersebut. Mereka buktikan keimanan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap apa yang disampaikan oleh baginda s.a.w. Telah zahir dua kelompok golongan Islam ketika ini, satu kembali murtad dan sekelompok lagi semakin mantap keimanan mereka. Demikianlah kedua-dua golongan ini akan terus wujud di dalam umat ini apabila bertembungnya iman dan akal dalam sesuatu isu. Semoga Allah sentiasa membimbing kita untuk terus berada dalam orbit keimanan As-Siddiq r.a.


                JADIKAN PRINSIP HIDUP

                Maka kaedah “Apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadis) maka nas mesti diutamakan” , sewajarnya dijadikan prinsip kehidupan. Walaupun pada hakikatnya akal yang benar dan tulus akan sentiasa selaras dengan nas, tetapi kadang-kadang manusia sering tewas dengan nafsu yang menguasai akal. 

                Sebagai contoh, di dalam dunia perniagaan, ada yang menggunakan akal lalu mengatakan bahawa mustahil boleh berjaya sekiranya tidak menipu dan terlibat dengan rasuah atau riba. Tetapi golongan mukmin akan bertegas bahawa nas (al-Quran dan hadis) melarang perbuatan tersebut dan keimanan menjamin bahawa rezeki ditentukan oleh Allah. Demikianlah ketika mencari penyelesaian  terhadap masalah-masalah jenayah seperti kecurian, rompak, bunuh dan sebagainya yang berleluasa, nas (al-Quran dan hadis) telah menjelaskan tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil untuk mengatasinya, bahkan mengandungi pencegahan daripada jenayah tersebut daripada berulang, tetapi golongan yang tidak beriman masih lagi mencari jutaan alasan untuk “memenangkan” logik mereka. Maka akibatnya, jenayah semakin berleluasa. Begitu juga apabila wujudnya pelbagai kepincangan di dalam sistem pentadbiran sesebuah negara samada di timur atau barat, maka terdapat pelbagai rujukan di dalam nas yang terhimpun selama 10 tahun Rasulullah s.a.w mengurus negara Madinah dan juga disusuli oleh Khulafa’ al-Rasyidin. Malangnya apabila akal diutamakan lalu berbangga dengan tamadun barat atau timur ciptaan manusia yang dangkal, maka ketika itu manusia akan terus meraba-raba di dalam kegelapan dan tidak akan menjumpai jalan keluar daripada masalah-masalah yang wujud.

                Kiaskanlah kaedah ini dalam segenap urusan hidup kita walaupun ketika golongan logik adalah majoriti dan akibatnya mungkin menyakitkan. Allah menjanjikan bahawa pertolonganNya pasti akan mengiringi golongan yang mengutamakan iman. Moga peristiwa Isra’ Mikraaj bukan sahaja untuk menyedapkan telinga mendengarnya saban tahun, tetapi ia menjadi satu manhaj aqidah yang jelas dan tegas, bagi melayakkan kita untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w  di akhirat kelak, di belakang panji keimanan yang dibawa  Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.

No comments:

Post a Comment