USTAZ SYED MOHD NORHISYAM BIN TUAN PADANG |
Hairan. Apabila di dalam ceramahnya,
seseorang pendakwah menegur dan menasihati seorang suami atau isteri yang
melanggar syariat Allah, masyarakat boleh menerima dengan positif. Demikian
juga apabila disentuh isu berkait ibu atau bapa, masyarakat boleh menerima
teguran tersebut. Begitu juga tentang peniaga, jiran, anak dan pelbagai watak
lagi, kebanyakannya dapat diterima dengan hati yang terbuka, walaupun ada
sebahagiannya hanya masuk ke telinga kanan dan terus keluar melalui telinga
kiri.
Perkara yang menghairankan ialah apabila disentuh tentang pemimpin yang
melanggar syariat, pendakwah terus dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat
kita. Pendakwah dituduh melakukan “dosa besar”, iaitu bercakap tentang politik
di dalam syarahannya. Bahkan lebih malang lagi, pendakwah tersebut dituduh
sebagai penentang kerajaan. Kenapa situasi ini berlaku ? Adakah “aqidah”
peninggalan penjajah yang menyatakan bahawa tiada kaitan antara agama dan
urusan politik masih menjadi pegangan sebahagian masyarakat kita ? Agama hanya
dipenjarakan di dalam urusan spiritual di masjid dan beberapa amalan seperti
kematian, perkahwinan dan ibadat-ibadat khusus sahaja ? Sedangkan Rasulullah
s.a.w pernah menjadi ketua negara sekitar sepuluh tahun di Madinah, menyusun
ekonomi negara, berperang, gencatan senjata, membuat MoU dengan negara lain dan
pelbagai peranan politik yang semestinya menjadi panduan para pemimpin dan ahli
politik. Baginda telah bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud “ Jihad
yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”. (
Tarmizi,no 2174, Abu Daud,no 4344 dan Al-Nasa’i,no 7834 ). Menurut Sheikh
Nasiruddin al-Baani, hadis ini mencapai darjat hadis yang sohih. Pengarang
kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tarmizi
dan kitab ‘Aun al-Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, telah menaqalkan pandangan yang
sangat menarik daripada Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadis ini. Beliau
berkata “ Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim menjadi jihad yang
paling afdhal adalah kerana apabila seseorang sedang berjihad di medan perang,
ia berada dalam dua kemungkinan iaitu menang ataupun kalah. Adapun ketika
berhadapan dengan pemerintah yang zalim, pastinya seseorang yang berkata benar
itu tidak akan menang (secara fizikal dan penilaian duniawi) kerana pemerintah
itu sedang berkuasa penuh.” Imam al-Sindi, di dalam Syarh Sunan al-Nasa’i pula
menegaskan bahawa ia adalah jihad yang amat sedikit seseorang mujahid
terselamat ataupun berjaya memperbetulkan pemerintah yang zalim, bahkan mereka
yang dipersalahkan dan kemudiannya membawa kepada kematian dengan cara yang
sangat mengerikan tanpa meletusnya peperangan.
PENGHULU PARA SYUHADA’
Di dalam kitab Al-Mustadrak, Imam
al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis daripada Jabir r.a, bahawa Rasulullah
s.a.w telah bersabda yang bermaksud “ Penghulu orang-orang yang mati syahid
ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur
dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah
tersebut”.(Hadis no 4884). Dalam realiti dakwah masakini di seluruh dunia, ada pendakwah yang memilih jihad yang paling afdhal dalam
pendekatannya dan ada juga yang memilih dengan penuh ikhlas untuk terus
berjihad, walaupun bukan dalam bentuk yang paling afdhal, tetapi demi
maslahah-maslahah yang juga pada hakikatnya memberi manfaat kepada dakwah.
Walaupun kedua-dua golongan ini menggunakan pendekatan yang berbeza, hati-hati
mereka tetap bertaut dengan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka
bumi ini. Masing-masing saling mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh
saudara seperjuangannya dengan penuh ikhlas kerana Allah dan husnu dzon.
Walaubagaimanapun, apabila wujudnya golongan yang hanya mendakwa berjihad
dengan lidahnya yang tidak bertulang sedangkan hatinya dihinggapi virus hasad,
mengharap pujian manusia dan gilakan habuan duniawi, maka akan tercetuslah
‘peperangan’ sesama sendiri yang amat menggembirakan musuh yang begitu riang
bertepuk tangan sambil mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang menyala.
Ketika berlaku pertembungan, sebenarnya Allah sedang menapis hamba-hambaNya
yang ikhlas dan berakhlak serta menzahirkan true colours golongan yang
mencari selain Allah di dalam ‘perjuangannya’.
AGAMA ADALAH NASIHAT
Tulisan ini bukan bertujuan menafikan
kelebihan jihad di medan perang atau jihad-jihad dalam bentuk yang lain, tetapi
untuk menjelaskan bahawa menegur pemerintah yang zalim adalah amalan yang
dituntut oleh Islam, demi kepentingan agama, masa depan generasi akan datang
dan tanah air sendiri. Ia juga dilakukan di atas dasar sayangkan mereka, lalu
tidak dibiarkan berterusan menempah azab Allah di akhirat kelak dengan
kezaliman yang dilakukan. Di dalam sepotong hadis yang lain, baginda bersabda
yang bermaksud “Agama adalah nasihat”. Para sahabat bertanya “Kepada siapa?”.
Rasulullah s.a.w menjawab “Kepada Allah, kitabNya, rasulNya, para pemimpin dan
kepada umat Islam keseluruhannya”. Di dalam syarahnya, Imam Nawawi menerangkan
bahawa amalan memberi nasihat berdasarkan agama adalah merupakan tunjang yang
sangat penting dalam Islam. Nasihat kepada Allah, kitabNya dan rasulNya membawa
pengertian mengajak manusia agar beriman kepada ketiga-tiga pedoman ini.
Manakala nasihat kepada para pemimpin ialah membantu dan mentaati mereka dalam
perkara kebenaran dan menegurnya apabila melakukan kemungkaran. Semua ini
dilakukan demi mencari keredhaan Allah s.w.t. dan bakal menjadi pencen akhirat
seseorang, insya Allah.
mohon menyebarkan kalam2 'haq' ustaz ini - faiz
ReplyDeletesyukran jaziilan. salam dari terengganu.