Syed Mohd Norhisyam al-Idrus |
KERJASAMA DENGAN NON MUSLIM
Imam Ibnu
Hisyam meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berusia 20 tahun, baginda
telah mengikuti satu persepakatan yang dipersetujui oleh masyarakat musyrikin
Quraisy di rumah Abdullah bin Jud`aan yang dikenali sebagai pakatan al-Fudhuul
(حلف الفضول).
Mereka bersetuju di dalam “MoU” tersebut untuk menentang segala bentuk
kezaliman yang berlaku di Mekah samada terhadap penduduk tempatan ataupun
sesiapa sahaja yang datang dari luar Mekah. ( Sirah Ibnu Hisyam, jilid
1, m.s 170 ) Ibnu Kathir menyatakan bahawa ini adalah perjanjian yang paling
mulia dimeteraikan sepanjang sejarah tanah arab. Ia berlaku disebabkan seorang
lelaki dari Zabid ( Yaman ) telah datang ke Mekah untuk berniaga, lalu
barangnya dibeli oleh Al-`Aas bin Waa’il tetapi tidak dibayar harga barang
tersebut. Lelaki ini merayu meminta pertolongan untuk mendapatkan haknya,
tetapi tidak berhasil. Akhirnya dia memanjat bukit Abi Qubais lalu berteriak
kepada orang-orang Quraisy yang berada di Ka’abah memberitahu bahawa dia telah
dizalimi dan tiada siapa yang membantu. Lantas bangunlah Zubair bin Abdul Muttalib
menyahut luahan lelaki itu lalu dihimpunkan pembesar-pembesar Mekah untuk
membincangkan perkara tersebut, maka termeterailah ( حلف
الفضول ) yang diasaskan di
atas dasar menentang segala bentuk kezaliman yang berlaku di Mekah.
HADIS
Imam Ahmad
meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Aku telah menghadiri
perjanjian ( حلف الفضول ) bersama bapa-bapa saudaraku ketika aku masih
muda, aku amat sukakan isi perjanjian ini dan tidak akan melanggarnya walaupun
ditawarkan segala kemewahan dunia. (no hadis 1567). Ibnu Hisyam pula
meriwayatkan bahawa baginda s.a.w bersabda : Aku telah menyaksikan satu
perjanjian di rumah Abdullah bin Jud`aan, aku tidak akan sekali-kali
melanggarnya walaupun ditawarkan segala kenikmatan dunia. Sekiranya aku
dipelawa lagi sekarang (zaman kerasulan) untuk menyertai persepakatan seperti
ini, nescaya aku pasti akan menyertainya. ( Sirah Ibnu Hisyam,jilid 1,m.s 171).
MANHAJ YANG
JELAS
Daripada
peristiwa dan hadis-hadis ini, dapat difahami dengan jelas keterbukaan Islam
serta komitmennya yang berterusan dalam menentang dan menghapuskan segala
bentuk kezaliman. Segala tindak tanduk Rasulullah s.a.w adalah panduan utama umat
Islam dalam memutuskan sesuatu pendirian. Para ulama’ merumuskan bahawa
bersepakat dan bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menentang kezaliman
dan mengembalikan hak-hak orang yang dianiaya adalah diharuskan dalam Islam. Demikian
juga memanfaatkan hubungan baik dengan mereka untuk maslahah perkembangan dan
dakwah Islam adalah diizinkan. Dalam peristiwa hijrah untuk menegakkan negara
Islam yang pertama di Madinah, Rasulullah s.a.w telah menggunakan bantuan
seorang musyrik yang bernama Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan menuju
ke destinasi hijrahnya. Bahkan baginda juga telah memanfaatkan sistem jahiliah
yang dikenali sebagai “qanun al-jiwar” untuk terus bertahan menyebarkan
dakwah di Mekah. Sistem ini memberi hak kepada seseorang untuk melindungi
saudaranya untuk terus berada di Mekah walaupun cuba dihalau keluar oleh
masyarakat. Ia mungkin boleh diistilahkan sebagai ‘suaka politik’ pada zaman
sekarang. Baginda telah memanfaatkan perlindungan bapa saudaranya yang bukan
Islam, iaitu Abu Tolib untuk terus berada di Mekah dan menyebarkan ajaran
Islam. Walaubagaimanapun apabila Abu Tolib cuba memujuk baginda agar
meninggalkan beberapa prinsip Islam, Rasulullah s.a.w terus bertegas dan tidak
sekali-kali menggadai prinsip perjuangan baginda. Inilah keterbukaan Islam dan
ketegasannya dalam berpegang dengan prinsip.
KEPELBAGAIAN WATAK
NON MUSLIM
Apabila kita
meneliti sejarah Rasulullah s.a.w, kita akan dapati kepelbagaian watak golongan
bukan Islam ini. Kehebatan Rasulullah s.a.w sangat terserlah sekiranya dikaji
pendekatan-pendekatan baginda yang sentiasa bersesuaian dengan individu yang
sedang dihadapinya. Watak seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang menolak Islam
dan sentiasa mengganggu dakwah baginda
akan terus wujud sehingga ke akhir zaman. Mereka ini dihadapi dengan penuh
sabar dan bijaksana ketika zaman Islam masih lemah di Mekah, tetapi setelah
negara Islam tertegak selepas peristiwa hijrah, golongan ini dihadapi dengan
pedang yang terhunus. Manakala watak non muslim seperti Abu Tolib dan Ibnu
Daghnah yang bersimpati dengan Islam, dimanfaatkan oleh Rasulullah s.a.w, Abu
bakar dan sahabat-sahabat yang lain dalam menyebarkan Islam. Walaupun mereka
tidak memeluk Islam, tetapi melalui hubungan baik tersebut telah memudahkan
kerja-kerja dakwah dijalankan. Prinsip-prinsip asas Islam tidak pernah digadai
di dalam hubungan ini dan baginda telah menunjukkan contoh yang praktikal
bahawa apabila bertembung antara kehendak golongan bukan Islam ini dengan
prinsip dan dasar Islam, maka prinsip dan dasar lebih diutamakan walaupun pada
zahirnya kelihatan agak merugikan dakwah. Tetapi mereka yakin bahawa berpegang
dan mengutamakan prinsip perjuangan adalah lebih utama dan pastinya membawa
kepada pertolongan Allah. Golongan non muslim ketiga ialah yang tidak menentang
dan tidak juga bersimpati dengan Islam, tetapi mereka ada memiliki kepakaran
tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk Islam seperti Abdullah bin Uraiqit dalam
peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Kita mendapati keterbukaan dan kebijaksanaan
Rasulullah s.a.w untuk memanfaatkan golongan ini, dengan syarat ia tidak
membawa mudharat kepada Islam seperti membocorkan rahsia atau menjalankan kerja
secara tidak profesional.
No comments:
Post a Comment