Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang

BARAH RASUAH

Di dalam portal rasmi SPRM (www.sprm.gov.my), disenaraikan pelbagai maklumat berkaitan rasuah di Malaysia seperti kejayaan SPRM, statistik tangkapan mengikut tahun, pengkalan data pesalah rasuah dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam kes yang melibatkan rasuah dan kebocoran pintu masuk negara (ditulis pada 26 Julai 2011), didedahkan bahawa wujudnya segelintir pegawai Jabatan Imigresen yang hidup mewah dengan sogokan mencecah RM60 ribu sebulan. Demikian juga pendedahan berkenaan penguatkuasa yang dipercayai dibayar sehingga RM2000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram. Terdapat pelbagai lagi kes rasuah yang berlaku di negara kita yang tercinta ini samada kecil-kecilan atau yang melibatkan amaun berjuta-juta ringgit. Persoalannya, kenapa ia terus berleluasa ? 

RASUAH DILAKNAT

Imam Tarmizi (no hadis 1337) dan Abu Daud (no hadis 3580) meriwayatkan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah”. Bahkan dalam riwayat Imam Ahmad dan Imam Hakim terdapat lafaz tambahan, iaitu golongan ketiga dilaknat “yang menjadi perantara menghubungkan pemberi dan penerima rasuah”. Rasulullah s.a.w yang amat terkenal dengan sifat lembut dan pemaafnya telah melaknat golongan ini, menunjukkan bahawa dosa rasuah terlalu besar dan akibatnya sangat buruk samada terhadap individu, masyarakat, negara dan agama. Ia termasuk dalam kategori memakan harta dengan cara yang batil sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa  padahal kamu mengetahui (salahnya)”(Al-Baqarah ; ayat188). Ia menjadi sebab doa tidak diterima oleh Allah, walaupun berdoa di hadapan Ka’abah pada lailatul qadar . Para isteri yang mengetahui suaminya memberi atau menerima rasuah mestilah mengingatkan mereka dengan akibat buruk di dunia dan akhirat. Demikian juga para pekerja yang mengetahui majikan mereka hanya survive dengan projek-projek hasil rasuah, kerana dibimbangi pendapatan seluruh anggota syarikat tidak diberkati oleh Allah.  Sebagaimana disebut najis dadah untuk menimbulkan kebencian kepadanya (walaupun fizikal dadah bukanlah najis hukumnya), maka amatlah lebih perlu menyebut najis rasuah. Rumah yang dibeli dengan duit rasuah adalah rumah yang najis. Kereta yang dibeli dengan duit rasuah adalah kereta yang najis. Baju raya yang dibeli dengan duit rasuah adalah baju yang najis. Bahkan tiket umrah yang dibeli dengan duit rasuah adalah tiket najis !!


TAKRIF RASUAH

Seorang ulama’ terkenal dari Mesir, Sheikh Muhammad Hassan mendefinisikan rasuah sebagai sejumlah wang yang dibayar untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya atau menghalang seseorang daripada mendapat haknya. Sebagai contoh, seseorang yang tidak layak mendapat kenaikan pangkat, telah membayar kepada pihak yang memutuskan kenaikan pangkat lalu ia dinaikkan pangkat disebabkan sogokan tersebut. Begitu juga sesebuah syarikat yang tidak layak untuk menerima sesuatu tender, lalu membayar kepada decision maker yang akhirnya memutuskan tender tersebut diserahkan kepada syarikat berkenaan. Rasuah yang lebih hina ialah apabila diberikan kepada hakim untuk memutuskan sesuatu hukum yang memihak kepada pemberi rasuah samada mengambil hak orang lain ataupun menghalang seseorang daripada mendapat haknya.

“MAKE UP” RASUAH MENJADI HADIAH

Pelbagai istilah yang manis telah direka bagi ‘menghalalkan’ rasuah oleh para penagihnya. Istilah-istilah terdahulu seperti makan suap, tumbuk rusuk, duit kopi, duit teh telah dimodenkan dengan istilah seperti pelincir, hadiah, hamper tanda ingatan, duit raya dan banyak lagi. Ia tetap tidak mengubah hukum haramnya rasuah. Bahkan Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah melantik seorang lelaki dari Bani Asad untuk menguruskan harta zakat. Apabila datang berjumpa Rasulullah s.a.w, beliau berkata “Wahai Rasulullah, ini adalah harta zakat untuk diserahkan kepadamu dan ini pula adalah hadiah yang diberikan kepadaku.” Lantas baginda terus bangun dan memuji Allah lalu bersabda “Ada ‘amil (petugas mengutip zakat) datang kepadaku dan berkata ‘ini harta zakat dan ini harta yang dihadiahkan kepadaku !!’. Adakah sekiranya ‘amil  ini tidak dilantik dan hanya duduk di rumah ibubapanya, adakah diberikan hadiah kepadanya?”. Di dalam kitab Fath al-Baari, Imam Ibnu Hajar berkata bahawa hadis ini menunjukkan larangan seseorang menerima hadiah daripada orang yang berada di bawah perlaksanaan bidang kuasanya. Di dalam kitab yang sama, beliau juga meriwayatkan kisah Khalifah Omar bin Abdul Aziz yang sangat teringin untuk memakan buah epal, tetapi tidak memiliki duit yang cukup untuk membelinya. Dalam perjalanannya, beliau terserempak seorang budak yang membawa buah epal lalu beliau mengambil sebiji epal tersebut lantas menghidu baunya lantas dikembalikannya. “Aku tidak memerlukannya”, kata Khalifah Omar. Dikatakan kepadanya “Bukankah rasulullah s.a.w dan Abu Bakar  Al-Siddiq menerima hadiah?”. Beliau menjawab dengan spontan “Pemberian seperti ini adalah benar-benar hadiah untuk mereka, tetapi kepada para penguasa dan pekerja selepas zaman mereka adalah rasuah !”. Sifat wara’ yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar bin Abdul Aziz ini sewajarnya menjadi contoh kepada setiap orang Islam yang benar-benar beriman kepada adanya mahkamah Allah di akhirat kelak. Kita mungkin boleh terlepas di dunia, tetapi tiada seorang pun yang mampu ‘merasuah’ juruaudit Allah di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment