Syed Mohd Norhisyam Bin Tuan Padang |
AWAS AHZAAB MODEN !!
Disunatkan kepada setiap muslim agar bertakbir apabila
menyambut kedua-dua hari raya dalam Islam. Takbir bermula selepas maghrib di malam
hari raya aidilfitri sehingga imam memulakan solat sunat aidilfitri dan bagi
hari raya aidiladha pula bermula waktu takbir sejurus selepas solat subuh 9
Zulhijjah sehingga akhir waktu asar 13 Zulhijjah. Di dalam kandungan
lafaz-lafaz takbir tersebut, terselit pelbagai makna tersirat yang sekiranya
diteliti satu persatu, ia bakal memberi kekuatan dan motivasi diri yang sangat
hebat kepada setiap mukmin.
PERANG AHZAAB
Saya ingin memetik hanya 3 patah perkataan sahaja iaitu (وهزم الأحزاب وحده)
yang bermaksud “Dan Dia (Allah) telah menghancurkan tentera ahzaab
dengan keEsaanNya”. Ahzaab adalah kumpulan-kumpulan yang memusuhi Islam, lantas
bergabung dalam satu barisan untuk menyerang Negara Madinah al-Munawwarah yang
dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Peperangan ini juga dikenali sebagai Perang Khandaq
yang bermaksud parit bersempena dengan khandaq (parit) yang digali oleh
Rasulullah s.a.w bersama para sahabat sebagai strategi menghadapi musuh hasil
cadangan seorang bekas hamba yang bernama Salman al-Farisi.
Sheikh Sofiyyurrahman
al-Mubarakfuri di dalam kitabnya,
al-Rahiiq al-Makhtuum ( The Sealed Nectar ) menyatakan bahawa jumlah tentera
ahzaab yang mengepung Madinah adalah seramai 10 ribu orang dan jumlah ini
melebihi keseluruhan penduduk Madinah yang terdiri daripada golongan lelaki,
perempuan, orang tua dan kanak-kanak. Keadaan terlalu kritikal dan cemas
sebagaimana digambarkan dalam ayat 10 dan 11, surah al-Ahzaab (( Masa itu
ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari
sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan
mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka
terhadap Allah Dengan berbagai-bagai sangkaan(11) Pada saat itulah diuji
orang-orang Yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya Dengan
goncangan Yang amat dahsyat.))
Dalam suasana kritikal dan
keletihan menggali parit bersama para sahabat, Rasulullah s.a.w telah
mengungkapkan satu kata-kata semangat yang sangat hebat, dipasak visi jangka
panjang ke lubuk hati para sahabat. Dengan intonasi syair dan bahasa yang
indah, baginda bersabda (Muslim,no 3366)(Bukhari 2/588):
اللهم لا عيش الا
عيش الآخرة * فاغفر للمهاجرين والأنصار
( Ya Allah , tiada kehidupan yang hakiki melainkan kehidupan akhirat
, maka ampunkanlah dosa-dosa golongan muhajirin dan ansar ).
Dengan spontan, para sahabat
menyahut beramai-ramai, juga dengan nada syair dan penuh semangat :
نحن الذين بايعوا
محمدا *
على الجهاد ما بقينا أبدا
(Kamilah yang berbai’ah–mengikat janji setia-dengan Muhammad,
akan terus berjihad selagi nyawa dikandung badan ! )
Rasulullah s.a.w menggariskan
visi ‘End in the mind’ yang jelas iaitu kehidupan hakiki di akhirat, manakala para
sahabat pula menyahut dengan me’refresh’ misi dan bai’ah mereka iaitu
meneruskan jihad mempertahankan agama selagimana masih hidup, bagi mencapai
wawasan akhirat yang dilaungkan Rasulullah s.a.w itu.
Peristiwa ini terlalu banyak
iktibar dan panduan yang boleh dipelajari, tetapi bukan di sini ruangnya untuk
digali satu persatu, namun saya sebagai insan kerdil yang masih dalam proses
menuntut ilmu ingin mencadangkan kepada para tuan guru, ustaz-ustaz dan
pendakwah yang dirahmati Allah sekalian untuk mengajak masyarakat mendalami
peristiwa Ahzaab ini terutama di dalam khutbah hari raya ataupun kuliah-kuliah
yang disampaikan agar setiap muslim dapat menyelami ruh takbir yang
diulang-ulang pada setiap sambutan hari raya.
Pihak masjid atau surau juga
diseru menganjurkan ceramah khas berkenaan Perang Ahzaab pada bulan Syawal
sebagaimana kita menganjurkan ceramah khas tentang Perang Badar pada bulan
Ramadhan. Tiada fadhilat khusus memilih bulan-bulan ini, cuma sekadar
bersempena situasi yang sesuai. Menelusuri episod-episod menarik
sepanjang peperangan ahzaab ini kita akan melihat sifat-sifat buruk golongan
munafiqin yang merupakan musuh dalam selimut dan kerjasama mereka dengan
musuh-musuh dari luar yang sanggup bergabung walaupun mereka berbeza ideologi,
semata-mata untuk menghancurkan Islam.
Kita juga dapat mempelajari ‘leadership’
Rasulullah s.a.w yang mendengar pandangan orang bawahan walaupun berimej bekas
hamba, demi kebaikan Islam bahkan keterlibatan baginda menggali parit dan turun
ke medan jihad bersama para sahabat. Beberapa kejadian yang menunjukkan
mukjizat Rasulullah s.a.w seperti
makanan sedikit yang disediakan oleh Jabir r.a mencukupi ratusan para
sahabat memakannya dan kemampuan baginda memecahkan batu yang sangat keras
ketika menggali parit di samping janji-janji kemenangan Islam. Kekuatan iman
para sahabat yang terhasil daripada usrah dan tarbiah Rasulullah s.a.w tidak
pernah goncang walaupun berhadapan pelbagai ancaman dan ejekan munafiqin.
Matlamat mereka adalah jelas, samada melihat kemenangan Islam di hadapan mata
atau gugur syahid dalam perjuangan.
Masyarakat perlu menyedari bahawa
golongan munafiqin dan ahzaab moden akan terus wujud serta saling bekerjasama
untuk menghancurkan Islam. Mereka merancang pelbagai strategi dan usaha untuk
melemahkan umat Islam dari segenap aspek. Maka menjadi kewajipan kita semua
untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan iman untuk menghadapi serangan ahzaab
moden tersebut, di samping sentiasa menjadikan sahutan golongan muhajirin dan
ansar sebagai syiar perjuangan ;
(Kamilah yang berbai’ah
–mengikat janji setia- dengan Muhammad, akan terus berjihad selagi nyawa
dikandung badan ! )
No comments:
Post a Comment