TAQOBBALALLAHU MINNAA WA MINKUM
          
AMALAN-AMALAN SUNNAH PADA AIDILFITRI


            Menyambut hari raya adalah ibadah dalam Islam. Aidilfitri merupakan hari kejayaan dan kegembiraan bagi setiap orang mukmin yang telah berjaya menjalani kursus intensif di madrasah Ramadhaniah selama satu bulan.

            Berikut adalah beberapa perkara sunnah ketika menyambut ketibaan bulan Syawal, agar Aidilfitri yang kita raikan benar-benar diterima sebagai ibadat di sisi Allah.

1)    Bertakbir .

Umat Islam disunatkan bertakbir pada Aidilfitri bermula daripada malam raya sehingga imam mengangkat takbiiratul ihram untuk solat sunat hari raya. Bagi Aidiladha, ia disunatkan bermula selepas solat subuh 9 Zulhijjah sehingga selepas asar hari ke 3 tasyriq ( menurut tarjih Imam Nawawi ). Umat Islam sangat digalakkan untuk memahami dan menghayati setiap ungkapan takbir yang dilaungkan. Ia sarat mengandungi makna keagungan dan keesaan Allah, serta kebenaran janji-Nya untuk memberi pertolongan kepada orang-orang mukmin. Bahkan ia juga mengingatkan kita peristiwa Perang Ahzab, di mana Allah telah memporak-perandakan tentera Barisan Ahzab dengan kekuasaanNya.

2)    Mandi sunat , memakai pakaian yang terbaik dan berwangi-wangian.

Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a. berkata : ”Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kami pada kedua-dua hari raya supaya memakai sebaik-baik pakaian yang kami miliki, menggunakan wangian yang paling baik dan menyembelih binatang korban yang paling berharga (mengikut kemampuan)” ( Mustadrak Hakim ; 4 / 230 ). Manakala mandi sunat hari raya pula, tidak ada sebarang hadis yang sahih tentangnya, tetapi terdapat beberapa ( آثار ) daripada para sahabat r.a. Di antaranya adalah ungkapan Abdullah ibnu Abbas r.a : ”Rasulullah s.a.w sentiasa mandi pada hari Aidilfitri dan Aidiladha”( riwayat Ibnu Majah : no 1315 ).  Menurut Sheikh Naasiruddin di dalam kitabnya Irwa’ul Ghaliil, katanya ”sebaik-baik dalil tentang sunatnya mandi pada hari raya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi di mana Saidina Ali r.a telah ditanya oleh seorang lelaki tentang mandi, lantas beliau menjawab : Mandilah setiap hari kalau kamu kehendaki. Lelaki itu berkata lagi : Aku maksudkan mandi yang betul-betul mandi (mendapat pahala). Ali menjawab : Hari Jumaat , hari Arafah , hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Irwa’ul Ghaliil : 1 / 176 ) 

Justeru, wujudkanlah suatu persekitaran ibadah di dalam rumah masing-masing. Apabila hari raya menjelang tiba, anak-anak perlu diingatkan untuk melakukan perkara-perkara ini sebagai suatu bentuk ibadah. Walaupun ia dilihat kecil tetapi ruh ibadah ini akan membawa kepada keberkatan dalam keluarga.

 
3)    Makan sebelum keluar rumah.

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Anas bin Malik berkata ”Rasulullah s.a.w tidak keluar dari rumah baginda pada hari Aidilfitri, melainkan baginda makan dahulu. Baginda makan beberapa biji kurma dalam bilangan ganjil (bukan genap)” ( Bukhari ; no 2 / 21 ). Oleh itu sebaik-baik makanan pada pagi tersebut adalah kurma kerana menepati 2 sunnah iaitu sunnah makan terlebih dahulu dan sunnah memakan kurma. Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk memakan selain kurma, kerana ianya tetap mendapat pahala makan sebelum keluar dari rumah. Insya Allah.

4)    Pergi ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri dan pulang dengan melalui jalan yang berbeza.

Jabir bin Abdullah r.a menceritakan bahawa pada hari raya, Rasulullah s.a.w menggunakan jalan yang berbeza. ( Bukhari ; no 2 / 29 ). Abu Hurairah juga turut menyatakan ”Setiap kali hari raya, Rasulullah akan pergi menunaikan solat hari raya, kemudian baginda pulang melalui jalan yang berbeza ” ( Ahmad : no 2 / 338 Tarmizi 2 / 541 ). Justeru, usahakanlah untuk menghidupkan sunnah ini, semoga kesungguhan kita memilih jalan berbeza untuk pulang ke rumah semata-mata kerana menuruti Rasulullah s.a.w, bakal menambahkan kasih kita kepada baginda s.a.w.

5)    Islamic greeting pada hari raya.(TAQOBBALALLAHU MINNAA WA MINKUM )

Jubair bin Nufair r.a berkata ” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka saling mengucapkan ” تقبل الله منا و منكم"  ( moga-moga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua ) “ ( Ibnu Hajar – Fathul Baari  2 / 517 ) ( Sheikh Naasiruddin – Tamaamul Minnah – 354 ). Namun begitu, tidak ada sebarang larangan untuk kita mengungkap ”maaf zahir batin” atau ”selamat hari raya”, tetapi sebagai umat yang sentiasa ingin menjadikan generasi para sahabat sebagai contoh, maka utamakanlah ungkapan yang diamalkan oleh para sahabat ini, kemudian diikuti adat masyarakat setempat. Semoga Allah menempatkan kita bersama para sahabat baginda di akhirat kelak.

6)    Solat sunat hari raya dan mendengar khutbah

Umat Islam disunatkan melakukan solat sunat pada kedua-dua hari raya secara berjemaah dan mengambil iktibar daripada khutbah yang disampaikan. Para imam berkewajipan mengingatkan umat Islam akan kebesaran Allah dan menimbulkan rasa kesyukuran kerana telah berjaya menundukkan hawa nafsu sepanjang Ramadhan serta menasihatkan ummah agar sentiasa istiqamah dengan ketaatan dalam 11 bulan seterusnya. Begitu juga para imam perlulah menggalakkan masyarakat agar berkongsi kegembiraan hari raya ini dengan golongan fakir miskin dengan memberi zakat dan bersedekah kepada mereka. Sebaiknya juga, ketika berkhutbah imam menafsirkan makna takbir yang dilaungkan supaya kisah pertolongan Allah di dalam Perang Ahzab sentiasa menjadi ingatan umat Islam dalam menghadapi cabaran menjaga agama mutakhir ini.

Sambut raya molek deehhhhh....))

No comments:

Post a Comment