Syed Mohd Norhisyam al-Idrus
BEBERAPA KESILAPAN PADA 1 SYAWAL

            Tanggal 1 Syawal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia meraikan kejayaan menewaskan hawa nafsu setelah berjuang sepanjang bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Menurut ajaran Islam, menyambut Aidilfitri juga merupakan suatu ibadat yang menatijahkan pahala di alam akhirat kelak. Maka terdapat pelbagai amalan sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk diamalkan setiap kali perayaan ini menjelma. Walaubagaimanapun, agak malang apabila ada segelintir umat Islam yang mengabaikan panduan Rasulullah s.a.w dalam menyambut Aidilfitri lantas melakukan kesilapan-kesilapan yang berulangkali saban tahun, sehingga ada teguran yang mengungkapkan “sehari beraya, rosak sebulan berpuasa”, na’uuzubillahi min zaalik.

Lupa Bahawa Aidilfitri Adalah Ibadat

            Kesilapan pertama, bahkan ia adalah punca segala kesilapan yang lain, iaitu apabila seseorang muslim yang menyambut Aidilfitri tidak merasakan bahawa ia adalah suatu bentuk ibadat kepada Allah s.w.t.  Aidilfitri dianggap sama seperti perayaan agama-agama lain sedangkan ia amat berbeza terutamanya dari aspek spiritual, falsafah dan cara menyambutnya. Apabila terlupa aspek ibadat, maka keseronokan menguasai suasana dan akan menjadi fokus utama. Bergembira, berpesta dan berhari raya dalam keadaan tidak menyedari apakah sebenarnya yang sedang dirayakan. Saling bermaafan, ziarah menziarahi, menjamu selera dan pelbagai aktiviti lagi, tetapi terlupa satu persoalan, “adakah aku benar-benar menyambut Aidilfitri sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w?”. Berhentilah seketika lantas renungilah persoalan ini. Perhatikan tingkahlaku ahli keluarga dan sahabat handai, kemudian jawablah persoalan ini dengan hati yang tulus.

Abaikan Sunnah Aidilfitri

            Bermula pada malam Aidilfitri sehingga solat sunat hari raya, kita amatlah digalakkan melaungkan takbir raya. Pada 1 Syawal pula, disunatkan beberapa amalan seperti mandi sunat Aidilfitri, memakai pakaian yang baru atau terbaik berserta wangian, sarapan pagi, pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan pulang menggunakan laluan yang berbeza daripada jalan ia datang,  ziarah menziarahi serta saling mengucapkan tahniah di atas kejayaan menempuh Ramadhan di samping mendoakan agar Allah menerima amalan kita semua. Sebahagian umat Islam hanya memilih beberapa amalan sahaja, bahkan tidak merangsang anak-anak dan ahli keluarga secara bersungguh untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang hanya hadir sekali setahun ini. Mereka hanya menitikberatkan baju baru, solat hari raya dan ziarah sahaja. Bahkan ada anak-anak muda yang hanya hadir menunaikan solat sunat Aidilfitiri, tetapi tidak mendengar khutbah lalu terus beredar sebaik sahaja selesai menunaikan solat. Takbir di malam raya bertukar menjadi “tawaf” di gerai-gerai jualan penghabisan stok malam raya, atau ditenggelami kemeriahan bersama ahli keluarga menyiapkan susunan kuih raya, perabot, sofa, langsir dan sebagainya. Hakikatnya, berjual beli tidak dilarang tetapi ia dianggap suatu kesilapan apabila menghilangkan ruh ibadat Aidilfitri. Begitu juga kesibukan menyiapkan persiapan hari raya di rumah, janganlah terlupa untuk menghiasinya juga dengan laungan takbir bersama ahli keluarga. Pastinya kegembiraan akan hadir bersama keberkatan dari Allah s.w.t.

Beraya Dengan Televisyen Dan Games

            Suatu cabaran buat ibubapa pada zaman kini, apabila anak-anak lebih memilih untuk “iktikaf” di hadapan televisyen pada hari raya. Mereka begitu seronok menikmati hidangan-hidangan yang disajikan sehingga amat sukar diajak bersama-sama menziarahi sanak saudara. Bahkan ada yang mensyaratkan waktu-waktu tertentu untuk program ziarah, kerana tidak mahu terlepas rancangan menarik di televisyen. Ketika ini, ibubapa perlu bertegas bahkan berusaha mewujudkan suasana yang ceria dan seronok apabila bertemu sanak saudara.Menjadi satu kesilapan besar sekiranya ibubapa mengambil jalan mudah dengan membiarkan anak-anak di rumah untuk hanya “beraya” dengan tv. Peluang untuk bertemu dan beramah mesra bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mestilah dimanfaatkan kerana mengeratkan silaturrahim juga adalah suatu tuntutan agama. Ada juga anak-anak yang hadir bersama-sama ketika ziarah, tetapi sibuk dengan permainan-permainan berteknologi di dalam gadget masing-masing sehingga bersalaman pun hanya sekadar menghulur tangan, sedangkan matanya asyik dengan permainan di tangan. Mereka tidak berminat untuk berbual bicara apatah lagi bergurau senda dan bermaafan, lantas hilanglah matlamat sebenar amalan ziarah dilakukan.  

Bermaafan Sekali Setahun

            Ada pasangan suami isteri yang hanya bermaafan pada hari raya sahaja. Begitu juga sebahagian anak-anak yang hanya memohon ampun dan maaf daripada ibubapanya, hanya pada pagi Aidilfitri. Demikianlah dalam persahabatan, bersama jiran tetangga, rakan sepejabat dan sebagainya, ada yang hanya “menyusun sepuluh jari” sempena Aidilfitri sahaja, sedangkan kesalahan dan kesilapan yang dibuat bolehlah dikatakan saban hari. Tidak dinafikan bahawa Aidilfitri adalah peluang untuk kita saling bermaafan, tetapi ia juga mestilah dilakukan setiap kali seseorang itu melakukan kesilapan samada kecil atau besar. Memohon maaf tidak akan menjadikan seseorang itu hina dan memberi kemaafan dengan sepenuh hati pula adalah suatu ketenangan dan kepuasan yang amat sukar diungkap dengan kata-kata.




Maksiat Aidilfitri

            Kesilapan yang paling menyedihkan ialah wujudnya pelbagai maksiat ketika  menyambut Aidilfitri, seolah-olah pelakunya lupa segala didikan yang diterima di madrasah Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Ketaatannya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tidak diteruskan setelah Syawal menjelma. Pergaulan yang terlalu bebas tanpa batasan berserta pendedahan aurat terutamanya golongan wanita dengan fesyen-fesyen pakaian yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai “berpakaian tetapi telanjang” menjadi perkara yang sangat berleluasa ketika menyambut Aidilfitiri. Bahkan ada pasangan-pasangan kekasih yang ‘berpuasa dating’ sepanjang Ramadhan terus ‘berbuka datingnya’ dengan menyambut hari lebaran secara bersama kononnya. Begitu juga perbuatan bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, samada di kalangan ahli keluarga, ipar duai dan sahabat handai, juga mestilah dielakkan di dalam keriangan kita pada hari lebaran itu. Antara maksiat yang sangat besar dilakukan pada hari raya juga ialah meninggalkan solat kerana terlalu asyik beraya sehingga keletihan, lantas terlupa atau buat-buat lupa untuk menunaikan solat. Amatlah malang golongan seperti ini kerana perbuatan-perbuatan tersebut seolah-olah satu pengisytiharan terhadap kegagalannya daripada tarbiah Ramadhan.

Ziarah Kubur

            Antara kesilapan yang sering berlaku pada hari raya Aidilfitri ialah berkaitan amalan menziarahi kubur ahli keluarga seperti arwah ibubapa, datuk, nenek, guru dan sebagainya. Kesilapan pertama ialah mengkhususkan hari raya sahaja untuk menziarahi, mengingati dan  mendoakan mereka sedangkan ketika pulang bercuti pada waktu lain, mereka tidak ‘diziarahi dan didoakan’. Doa kepada si mati, khususnya ibubapa mestilah dilakukan sepanjang masa walaupun tidak berkesempatan menziarahi kubur mereka. Perkara kedua ialah golongan wanita yang pergi ke kubur dengan keadaan yang menimbulkan fitnah seperti berseorangan atau dengan pakaian yang menarik perhatian kaum lelaki, serta tangisan yang berlebihan. Kesilapan ketiga ialah melupakan matlamat sebenar menziarahi kubur, iaitu mengingati kematian. Menziarahi kubur bukan untuk bersedih atau melemahkan semangat seseorang untuk terus mengharungi kehidupan tanpa insan tersayang, tetapi ia mengingatkan kita agar terus bersemangat dalam memanfaatkan kehidupan ini bagi menyediakan bekalan untuk bermusafir ke alam akhirat nanti.

Open House

            Suatu budaya baru masyarakat Malaysia dalam menyambut Aidilfitri ialah dengan mengadakan “open house”. Hukum asalnya adalah harus, iaitu hukum menyediakan juadah dan menjemput tetamu menikmatinya bersama-sama. Ia mungkin berubah menjadi haram. Bahkan adakalanya ia sangat digalakkan dan amat besar pahalanya. “Open house” dilakukan terutamanya di bandar-bandar besar  bagi memudahkan tuan rumah dan juga para tetamu merancang jadual pergerakan mereka. Demikian juga kawasan-kawasan perumahan yang menghadapi masalah keterbatasan ruang parking dan ruangan makan yang memerlukan pemasangan khemah yang menghalang laluan, maka ia dirancang dan dilakukan secara bergilir-gilir sesama ahli kejiranan. Walaubagaimanapun, sekiranya ia dilakukan dengan penuh kesombongan dan perasaan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan majlisnya ataupun dengan hanya mengkhususkan jemputan kepada golongan kaya sahaja dan menafikan jiran-jiran berdekatan semata-mata kerana status yang lebih rendah, maka dibimbangi majlis bakal bertukar menjadi sebab dosa, bukannya ibadat Aidilfitri lagi.

Kesimpulan

            Kebanyakan kesilapan yang berlaku adalah disebabkan kejahilan dan juga persekitaran yang mendorong ke arahnya. Maka setiap insan yang bersungguh-sungguh mencari keredhaan Allah perlulah berusaha menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan tuntutan-tuntutan agama dalam kehidupan ini. Ilmu seumpama cahaya yang menyuluh jalan yang benar di dalam kehidupan. Tanpa cahaya, seseorang meraba-raba dalam kegelapan tanpa panduan ke arah yang betul. Tetapi tidak dinafikan juga seseorang yang mempunyai pengetahuan tidak mampu merealisasikannya disebabkan persekitaran dan rakan-rakan yang tidak mendorong ke arah kebaikan, maka ketika itu perlulah mengambil tindakan yang drastik dalam memilih persekitaran dan teman-teman dalam kehidupan ini. Semoga kita terus diberi hidayah oleh Allah untuk bergembira di hari raya Aidilfitri di samping mengumpul sebanyak mungkin pahala di celah-celah keriangannya.

2 comments:

  1. Jazakallah ustaz untuk post ni.
    Ustaz letak la button like facebook. senang sikit nak share dekat wall sy.

    anyway, selamat ramdhan :))

    ReplyDelete
  2. Ada orang pernah tanya saya, apakah hukum menyambut aidilfitri & aidiladha?

    ReplyDelete