Syed Mohd Norhisyam al-Idrus

 SOALAN BOCOR

            Ada kalanya, ketika musim peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan lain-lain, kedengaran bisik-bisik berkenaan soalan bocor. Pelbagai respon daripada para pelajar dan ibubapa. Ada yang begitu bersungguh mendapatkannya dan membuat persiapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Ada juga pelajar yang mendapat soalan-soalan tersebut, tetapi tidak mempedulikannya, bahkan ada yang langsung tidak berminat untuk mengambil tahu soalan-soalan tersebut. Ketika di dalam dewan peperiksaan, ada yang bergembira kerana telah bersiap sedia dengan jawapan dan ada yang menyesal kerana mengabaikan soalan-soalan bocor tersebut. Kolum hadis kali ini akan membicarakan berkenaan empat soalan di dalam kubur yang telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui ungkapan baginda yang bermaksud “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya, apakah yang diamalkan. Ditanya tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya. Dan ditanya tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan.” ( Tarmizi ; no 2417). Moga-moga kita mengambil perhatian dan mempersiapkan jawapan masing-masing dan berjaya lulus dengan cemerlang di akhirat nanti.

SOALAN BOCOR PERTAMA 

            Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian daripada Allah swt. Apabila tiba waktunya, kematian menjelma tanpa diperlewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Persoalan berkenaan usia yang dianugerahkan olehNya akan ditanya kepada setiap insan lantas masing-masing menjawab dengan jawapan yang berbeza, berdasarkan cara tersendiri tentang bagaimana memenuhi tempoh tersebut. Ada yang pendek usianya, tetapi menjadi sangat bernilai kerana diisi dengan penuh ubudiyyah ( penghambaan) kepada Allah swt. Ada pula yang panjang umurnya, tetapi menjadi sebab penyesalan yang tidak berkesudahan kerana ia dipenuhi dengan penghambaan kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira adalah di kalangan yang panjang usianya dan dihiasi dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha Esa. Moga kita mampu menjawab pada saat itu dengan jawapan yang tidak menghampakan.

SOALAN BOCOR KEDUA 

            Soalan kedua amat menggetarkan hati khususnya golongan yang berilmu. Apakah yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki ? Peringatan yang amat menggerunkan di dalam firman Allah “Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” ( surah Soff, ayat 3 ). Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat kepada seseorang ialah apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan mereka di akhirat kerana ia tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’ al-suu’ (ulama’ yang jahat) yang sentiasa menggunakan agama untuk mengejar dunia dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari redha ‘tuhan-tuhan’ yang bukan Tuhan. Demikianlah iblis yang mempunyai ilmu paling hebat berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai nikmat di dalamnya, tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan ketaatan kepada Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini, tetapi pada hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar iaitu sesat dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami agar sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama  dan anugerahkan kami kemampuan untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.

SOALAN BOCOR KETIGA

            Soalan ketiga berkenaan harta. Ia mempunyai dua anak soalan, iaitu bagaimana cara memperolehi dan bagaimana cara membelanjakannya. Realiti dunia hari ini yang dikuasai kapitalis melahirkan segolongan manusia yang tidak mempedulikan halal dan haram di dalam mengumpul harta. Matlamatnya hanyalah wang, setiap tindak tanduk diputuskan berdasarkan keuntungan wang, segala pengorbanan adalah demi wang, bahkan hidup matinya seolah-olah menghambakan diri kepada wang. Golongan ini lupa untuk merealisasikan makna doa iftitah yang dibaca pada setiap rakaat pertama solatnya. Sepatutnya segala-segala yang dilakukan adalah demi Allah, Tuhan sekalian alam. Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya. Alangkah ngerinya keadaan golongan ini apabila berada di dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, apakah yang bakal dijawab oleh mereka? Soalan susulan seterusnya ialah cara membelanjakan harta yang dimiliki. Ada yang begitu cermat memastikan hartanya benar-benar dari sumber yang bersih dan halal, tetapi lalai ketika membelanjakannya. Tanpa disedari, ia membeli perkara-perkara yang menjadi senjata musuh untuk merosakkan zuriatnya sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah yang mereka diami. Ada kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi membawa ahli keluarganya ke tempat yang melalaikan mereka dari mengingati Allah.  Semua ini bakal ditanya, persiapkanlah jawapannya !

SOALAN BOCOR KEEMPAT

            Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat bahkan jarang memuji Allah di atas nikmat ini. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut Allah dan berazam untuk melalukan ketaatan setelah sembuh. Demikianlah sakit, satu anugerah yang sangat baik dari Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya. Justeru, hargailah nikmat tubuh badan ini dengan menggunakannya semaksima mungkin untuk melakukan pelaburan yang profitnya akan digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat nanti.

TANGAN DAN  KAKI BERCAKAP

            Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud “Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang telah mereka lakukan” ( Yaasin,ayat 65 ). Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu.  Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.
           

           

Syed Mohd Norhisyam al-Idrus
10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA

Siapakah manusia yang hebat ? Bagaimanakah penilaian untuk seseorang dinobatkan sebagai tokoh yang hebat ?  Adakah kerana jawatan dan pencapaiannya ? Atau harta dan kemewahannya ? Atau dikira dengan segala sijil dan gelarannya ?  Rasulullah s.a.w pernah menyenaraikan sepuluh orang manusia yang hebat dan tiada sesiapa yang mampu menandingi kehebatannya. Mereka diisytiharkan paling hebat kerana ketika masih hidup, telah dijamin bakal menjadi ahli syurga ! Adakah lagi kehebatan lain yang mengatasi kehebatan jaminan syurga di akhirat ketika seseorang itu masih hidup ?? Baginda bersabda :  “ Abu bakar (al-Siddiq) di syurga, Omar (al-Khattab) di syurga, Othman (bin ‘Affan) di syurga, Ali (bin Abi Tolib) di syurga, Talhah (bin Ubaidillah) di syurga, Zubair (bin ‘Awwam) di syurga, Abdul Rahman bin Auf di syurga, Sa’ad (bin Abi Waqqas)di syurga, Sa’id (bin Zaid) di syurga danAbu ‘Ubaidah al-Jarrah di syurga.( Tarmizi, no 3747). Menurut Sheikh Naasiruddin al-Baani, hadis ini mencapai martabat sohih.

RAHSIA KEHEBATAN

Semua tokoh ini dikenali sebagai “al-‘asyarah al-mubassyariina bil al-jannah” yang bermaksud sepuluh orang yang diberi berita gembira dengan jaminan syurga oleh Rasulullah s.a.w. Setiap orang mempunyai keperibadian dan kelebihan masing-masing, tetapi mempunyai satu persamaan iaitu iman yang kental dan pembuktiaannya dalam mempertahankan Islam serta pengorbanan demi mendokong ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sepanjang hidup mereka. Latar belakang dan usia mereka berbeza tetapi hati-hati mereka disatukan dengan ketauhidan kepada yang Maha Esa serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. Semuanya mempunyai sejarah silam tersendiri sebelum memeluk Islam, tetapi setelah menerima cahaya hidayah dari Allah, mereka menjadi tokoh yang terbilang sehingga nama-nama mereka terus mewangi di dalam kitab-kitab sejarah berkenaan tokoh-tokoh yang menjadi “graduan madrasah Rasulullah s.a.w”. Kisah-kisah yang menjadi sebab “turning point” setiap tokoh ini memeluk Islam, sangat menarik untuk dikaji dan diteliti kerana terselit di dalamnya jutaan mutiara-mutiara iktibar khususnya buat para pendakwah yang bercita-cita menyambung risalah perjuangan mereka. Begitu juga dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang dihadapi sepanjang menggenggam amanah Islam yang mereka terima daripada Rasulullah s.a.w. Islam bukan sekadar untuk diamalkan secara fardi (individu) tetapi mestilah disebarkan kepada seluruh manusia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman dan halangan. Mereka telah ‘lulus’ dengan jayanya sehingga ada yang gugur syahid dalam menunaikan amanah ini.


IKON SEBENAR

Merekalah ikon yang seharusnya diketengahkan ke dalam masyarakat. Kisah-kisah mereka mestilah disebarluaskan agar menjadi contoh dan pengajaran kepada umat Islam pada zaman kini. Ada di kalangan mereka yang berniaga, ada yang miskin. Mereka juga adalah suami dan ayah. Mereka pernah sakit dan bergurau mesra dengan insan sekeliling. Mereka adalah contoh ahli ibadat yang sangat kuat amalannya di samping pejuang yang tiada tolok bandingnya di medan perang. Mereka sangat berlembut sesama orang mukmin tetapi sangat tegas apabila ada hukum-hukum Allah yang tidak dipatuhi. Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w terpancar dalam setiap tindak tanduk dan ungkapan mereka. Terlalu banyak contoh yang mulia terselit dalam keperibadian setiap sahabat ini sehingga Rasulullah s.a.w membuat perumpamaan bahawa mereka dan sahabat-sahabat baginda yang lain adalah seperti bintang yang menjadi panduan orang bermusafir mencari arah (amalan musafir di padang pasir), maka sekiranya umat Islam pada hari ini ingin mencari panduan untuk dicontohi dalam perjalanan kehidupan mereka, para sahabat Rasulullah s.a.w inilah ‘bintangnya’.

Siapa Ikon Masyarakat Islam Masakini ?

Malangnya, suatu realiti yang tidak dapat dinafikan ialah sebahagian besar umat Islam pada hari ini kurang mengenali tokoh-tokoh yang hebat ini. Pepatah Melayu menyebut “tidak kenal maka tidak cinta”. Oleh itu, apabila tidak kenal dan tidak cinta, sudah pasti tiada langsung perasaan ingin mencontohi mereka dalam kehidupan. Di dalam situasi ini pula, golongan yang lebih dinobatkan serta diagung-agungkan adalah dari kalangan manusia yang sebenarnya amat jauh dari Allah. Zahirnya kelihatan hebat dan ceria, tetapi hatinya sentiasa kusut disebabkan tidak mendapat kekuatan daripada Pencipta hati dan Pencipta manusia sendiri. Apabila golongan ini menjadi ikon dan segala perangai serta gaya hidup mereka ditiru, maka semakin bertambah jauhlah masyarakat daripada ‘bintang’ yang Rasulullah s.a.w maksudkan, lantas manusia terus meraba dalam kegelapan. Pelbagai masalah sosial dan kehidupan terus menular sehingga mewujudkan suasana seolah-olah tiada panduan agama dalam tindakan yang diambil. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan mengembalikan rasa cinta kepada generasi sahabat yang dididik oleh baginda s.a.w lantas mencontohi sikap dan gaya hidup mereka di dalam mengharungi realiti kehidupan masa kini. Pihak berwajib mewujudkan silibus pendidikan ke arah mengetengahkan tokoh-tokoh ini, para ulama’ memperbanyakkan penyebaran maklumat berkaitan ketokohan para sahabat, ibubapa berusaha mencari bahan-bahan bacaan atau informasi terkini sebagai bekalan untuk anak-anak yang sedang membesar dan pelbagai usaha lain lagi berdasarkan ruanglingkup dan kemampuan seseorang.




Syed Mohd Norhisyam al-Idrus
     POTONG TANGAN PENCURI

            Motosikal dicuri. Kabel elektrik dicuri. Duit tabung masjid dicuri. Besi penutup longkang dicuri. Duit di dalam akaun juga ada yang dicuri. Pelbagai kes kecurian berlaku, apakah kesudahannya ? Bagaimana mengatasinya ? Jawapannya hanya satu, iaitu memotong tangan pencuri. Imam Bukhari (no hadis 6788) dan Imam Muslim (no hadis 1688) meriwayatkan bahawa seorang perempuan dari qabilah besar dan sangat dihormati di kalangan masyarakat Mekah, iaitu qabilah Bani Makhzuum telah disabitkan kesalahan mencuri. Lalu Quraisy begitu bimbang sekiranya perempuan bangsawan ini dipotong tangannya lalu mereka berbincang untuk mencari seseorang bagi memujuk Rasulullah s.a.w agar tidak menjatuhkan hukuman tersebut. Akhirnya, mereka memilih Usamah bin Zaid bin Harithah untuk tugas itu kerana beliau adalah cucu angkat kesayangan baginda s.a.w. Setelah Usamah menyatakan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, baginda terus menjawab dengan tegas “ Adakah kamu ingin memberi syafaat ( memujuk diriku agar tidak menjatuhkan hukum) dalam perlaksanaan hukum Allah ini ??” Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dan menyampaikan satu ucapan yang bermaksud            “Sesungguhnya umat terdahulu sebelum kamu telah binasa kerana apabila golongan atasan dan bangsawan di kalangan mereka melakukan kesalahan, mereka dibiarkan. Apabila golongan bawahan dan rakyat biasa melakukan kesalahan, hukuman yang ditetapkan oleh Allah ( hudud ) dilaksanakan ke atas mereka. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad ( s.a.w) mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya !”. Menurut Imam al-Qurtubi, perempuan daripada Bani Makhzuum itu bernama Murrah binti Suffian bin Abdil Asad dan dia adalah wanita pertama yang dijatuhkan hukuman potong tangan oleh Rasulullah s.a.w. kerana disabitkan kesalahan mencuri. (Tafsir al-Jaami’ li Ahkaam al-Quran- surah al-Maa’idah ; ayat 38 )

KEJAM

            Ada pandangan yang mengatakan bahawa hukuman ini adalah kejam. Sebenarnya tindakan memotong tangan seseorang memanglah kejam, tetapi sekiranya orang itu adalah seorang pencuri, maka hukuman tersebut amatlah sesuai. Ia bersifat memberi pengajaran kepada pencuri dan masyarakat sekeliling serta memberi peluang kepada pencuri untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru.Sesiapa yang tidak mencuri atau tidak  berniat untuk mencuri tidak perlu bimbang kerana hukuman ini hanyalah istimewa untuk para pencuri sahaja. Bayangkan seorang ayah yang mengumpul duit saban bulan untuk membeli sebuah motosikal bagi kegunaan anak sulongnya yang baru melanjutkan pengajian di universiti, tiba-tiba motosikal itu dicuri ! Tanpa disedari, ada yang pernah menjadi mangsa pencuri telah mengeluarkan ungkapan “Kalau aku jumpa pencuri keretaku, akan kucincang sehingga mati !” Ada juga yang menyebut “Kalau dapat ditangkap orang gaji yang mencuri barang kemasku itu, akan kutikam sampai hancur !”. Para pembaca boleh bertanya mangsa-mangsa kecurian, apa yang akan mereka lakukan sekiranya dapat menangkap pencuri tersebut

PREVENTION IS BETTER THAN CURE.

Islam hadir dengan membawa suatu penyelesaian yang sederhana di dalam segenap aspek kehidupan manusia. Hukumannya bukan sahaja bersifat setimpal dengan kesalahan tetapi ia juga mengandungi unsur pencegahan. Allah berfirman yang bermaksud “ dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Surah al-Maa’idah ; 38 ). Walaubagaimanapun, seseorang pencuri tidak terus dipotong tangannya melainkan setelah cukup syarat-syaratnya seperti kadar nilaian barang curian, tersimpan di tempat yang selamat dan beberapa isu lain yang diperincikan di dalam kitab-kitab fekah. 

Para pengkaji di dalam bidang perundangan amatlah digalakkan untuk membuat kajian perbandingan berkenaan aspek “prevention (pencegahan) ” yang terkandung di dalam undang-undang jenayah Islam dan juga undang-undang ciptaan manusia. Sekiranya masyarakat menyaksikan seseorang yang telah sabit kesalahan mencuri dipotong tangannya di khalayak ramai, pastinya tersemat satu perasaan gerun ke dalam hati mereka untuk melakukan jenayah yang sama. Begitu juga apabila pesalah yang dijatuhkan hukuman tersebut meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan sebelah tangannya  terpotong, pasti akan menjauhkan dirinya daripada mengulangi jenayah mencuri lagi. Bahkan masyarakat yang berurusan dengannya akan sentiasa mengambil iktibar setiap kali melihat pencuri tersebut  dalam keadaan terpotong tangannya. Hukuman ini akan menyebabkan pencuri itu insaf dan bertaubat, lalu ia akan terselamat di akhirat nanti. Inilah keindahan islam. Seseorang yang melakukan kesalahan mesti dihukum, tetapi di dalam masa yang sama ruang untuk membaiki diri terbuka luas sebagaimana firman Allah di dalam sambungan ayat di atas yang bermaksud “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (mencuri) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya (selepas dipotong tangannya) kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Maa’idah ; 39 ) Masyarakat juga boleh hidup dengan tenang dan aman daripada ancaman golongan yang berkarier sebagai pencuri ini.

Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang
SUKARKAH MENDAPAT HAJI MABRUR ?

 Setiap bayi yang baru dilahirkan suci daripada sebarang dosa. Mereka semua ibarat sehelai kain putih yang sangat bersih, tanpa dinodai oleh tompokan-tompokan dosa. Demikianlah perumpamaan Rasulullah s.a.w terhadap seseorang yang mendapat haji mabrur. Mereka pulang ke kampung halaman seperti seorang bayi yang baru lahir, suci daripada dosa-dosa lampau.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud ; ”Barangsiapa yang menunaikan haji semata-mata kerana Allah, lalu tidak melakukan ”rofathu” dan ”fusuuq”, ia akan pulang ke kampung halamannya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya.” ( Riwayat Bukhari no.1424 , Muslim no. 1350 ) Sepotong ayat al-Quran yang berkait rapat dengan perkara ini adalah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke-197 yang bermaksud: ” Haji itu ialah beberapa bulan Yang termaklum. oleh Yang demikian sesiapa Yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji itu, maka tidak boleh rofathu, tidak boleh melakukan fusuuq dan tidak boleh jidaal”, Daripada hadis dan firman Allah ini, jelas kepada kita bahawa sesiapa yang menunaikan haji dengan penuh ikhlas dan melaksanakan segala rukunnya serta meninggalkan ”rofathu” , ”fusuuq” dan ”jidaal”, hajinya dikira mabrur, insya Allah.

Elakkan ”rofathu”, ”fusuuq” dan ”jidaal”.

Ketika menerangkan makna ”rofathu”, Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani dan Imam an-Nawawi telah menukilkan pandangan seorang ulama’ bahasa Arab iaitu Imam al-Azhari yang menyatakan bahawa ia adalah lafaz yang memberi erti setiap perkara yang diingini oleh seorang lelaki daripada seorang perempuan. Imam Qurtubi pula menyatakan bahawa ”rofathu” bererti jimak, berdasarkan tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Jubair, al-Suddi, Qatadah, I’krimah, al-Zuhri dan Mujahid. Di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali telah membuat suatu kesimpulan yang menarik tentang ”rofathu”, bahawa ia adalah setiap perkara yang lagha, ucapan yang keji dan lucah. Ia meliputi ungkapan yang menggoda pasangan seperti berbicara berkenaan hubungan kelamin ( ketika dalam keadaan ihram ) samada secara terang atau sindiran.


”Fusuuq” pula daripada perkataan fa sa qa , bererti kha ra ja , iaitu keluar. Para ulama mentafsirkan ”fusuuq” dengan erti keluar dari ketaatan kepada Allah atau melakukan maksiat. Ibnu Omar memberikan contoh maksiat seperti membunuh binatang buruan, memotong kuku dan bulu ketika ihram. Ibnu Zaid mentafsirkan fusuuq dengan menyembelih untuk berhala. Sheikh Ibnu Uthaimin di dalam Syarah Riadus Solihin pula menyatakan kedua-dua bentuk maksiat, iaitu percakapan seperti mengumpat, fitnah dan berbohong serta maksiat perbuatan seperti melihat aurat wanita, mencuri dan sebagainya.  Imam Qurtubi pula menyimpulkan bahawa haji mabrur diperolehi oleh seseorang yang tidak melakukan sebarang bentuk maksiat sepanjang melakukan ibadat haji dan juga selepasnya. Ini dikuatkan dengan pandangan al-Hassan yang menyatakan bahawa tanda seseorang yang mendapat haji mabrur ialah apabila beliau pulang ke kampung halaman, ia berubah menjadi seorang yang tidak tertipu dengan dunia dan sentiasa merancang untuk kebaikan akhirat.


Larangan ketiga yang mesti dijauhi ialah ”jidaal”. Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas menyatakan bahawa ia bermaksud seseorang berhujjah sehingga menyebabkan lawannya marah dan berakhir dengan memaki hamun. Adapun perbincangan dan saling berhujjah dalam perkara ilmiah secara penuh adab, maka tidak dilarang. Ini adalah suatu takrifan yang menyeluruh kepada istilah ”jidaal”. Suasana ramainya manusia daripada pelbagai latar belakang budaya, kehidupan dan pengetahuan agama menjadikan ibadat haji sangat mencabar terutamanya untuk bersabar menghadapi kerenah-kerenah manusia. Setiap orang disarankan agar memberi tumpuan kepada ibadat masing-masing serta membuang ego yang ada di dalam diri. Ini secara tidak langsung mengelakkan kita terjebak di dalam ”jidaal”.


Mimpi yang aneh

Diceritakan kepada saya oleh seorang sahabat yang tsiqah[1], bahawa ketika beliau masih belajar di Universiti Islam Madinah telah berlaku suatu pengalaman yang menarik. Dalam satu musim haji, sebagaimana biasa radio negara Arab Saudi membuat program soaljawab agama secara langsung berkenaan permasalahan-permasalahan yang berkait dengan ibadat haji. Para pemanggil bertanya soalan dan dijawab oleh pakar-pakar yang ditugaskan. Seorang wanita telah menelefon dan bertanya ”Tuan sheikh, saya telah bermimpi suatu mimpi yang ganjil, bolehkah tuan menafsirkan mimpi saya?”. Ulama tersebut menjawab ”Kita dalam perbincangan berkenaan haji, bukannya mentafsir mimpi. Walaubagaimanapun, sila puan nyatakan apakah mimpi tersebut”. Wanita itu menyambung ”Saya bermimpi melihat seorang lelaki sedang tawaf mengelilingi Ka’abah dalam keadaan telanjang !”. Ulama itu terdiam seketika lantas berkata ” Sebenarnya, lelaki yang puan lihat itu telah mendapat haji yang mabrur. Dia sedang melakukan tawaf wida’ sebelum pulang ke kampung halamannya. Saya menafsirkan sedemikian kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa seseorang yang mendapat haji mabrur akan pulang sebagaimana hari ia dilahirkan. Setiap orang dilahirkan dalam keadaan telanjang. Puan, sampaikan berita gembira kepada lelaki tersebut sekiranya puan mengenalinya. Ini adalah isyarat gembira daripada Allah s.w.t. kepadanya”. Lalu wanita itu menjawab spontan, dengan penuh emosi ”Demi Allah sheikh, orang yang saya lihat dalam mimpi itu adalah tuan sendiri !”. Tiba-tiba ulama tersebut terus sebak dan tidak dapat meneruskan soaljawab pada hari tersebut.

Subhaanallah ! Ada manusia yang beroleh nikmat sehebat ini. Keikhlasan dan kesungguhan menjaga tatatertib ibadah yang didasari dengan ilmu serta kefahaman akhirnya menatijahkan kejayaan dan keindahan bukan sahaja di akhirat tetapi dapat dikecapi sejak di dunia lagi. Ya Allah, kurniakan kepada kami haji yang mabrur...



[1] Boleh dipercayai ( bukan cerita rekaan )