Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang
SUKARKAH MENDAPAT HAJI MABRUR ?

 Setiap bayi yang baru dilahirkan suci daripada sebarang dosa. Mereka semua ibarat sehelai kain putih yang sangat bersih, tanpa dinodai oleh tompokan-tompokan dosa. Demikianlah perumpamaan Rasulullah s.a.w terhadap seseorang yang mendapat haji mabrur. Mereka pulang ke kampung halaman seperti seorang bayi yang baru lahir, suci daripada dosa-dosa lampau.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud ; ”Barangsiapa yang menunaikan haji semata-mata kerana Allah, lalu tidak melakukan ”rofathu” dan ”fusuuq”, ia akan pulang ke kampung halamannya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya.” ( Riwayat Bukhari no.1424 , Muslim no. 1350 ) Sepotong ayat al-Quran yang berkait rapat dengan perkara ini adalah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke-197 yang bermaksud: ” Haji itu ialah beberapa bulan Yang termaklum. oleh Yang demikian sesiapa Yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji itu, maka tidak boleh rofathu, tidak boleh melakukan fusuuq dan tidak boleh jidaal”, Daripada hadis dan firman Allah ini, jelas kepada kita bahawa sesiapa yang menunaikan haji dengan penuh ikhlas dan melaksanakan segala rukunnya serta meninggalkan ”rofathu” , ”fusuuq” dan ”jidaal”, hajinya dikira mabrur, insya Allah.

Elakkan ”rofathu”, ”fusuuq” dan ”jidaal”.

Ketika menerangkan makna ”rofathu”, Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani dan Imam an-Nawawi telah menukilkan pandangan seorang ulama’ bahasa Arab iaitu Imam al-Azhari yang menyatakan bahawa ia adalah lafaz yang memberi erti setiap perkara yang diingini oleh seorang lelaki daripada seorang perempuan. Imam Qurtubi pula menyatakan bahawa ”rofathu” bererti jimak, berdasarkan tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Jubair, al-Suddi, Qatadah, I’krimah, al-Zuhri dan Mujahid. Di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali telah membuat suatu kesimpulan yang menarik tentang ”rofathu”, bahawa ia adalah setiap perkara yang lagha, ucapan yang keji dan lucah. Ia meliputi ungkapan yang menggoda pasangan seperti berbicara berkenaan hubungan kelamin ( ketika dalam keadaan ihram ) samada secara terang atau sindiran.


”Fusuuq” pula daripada perkataan fa sa qa , bererti kha ra ja , iaitu keluar. Para ulama mentafsirkan ”fusuuq” dengan erti keluar dari ketaatan kepada Allah atau melakukan maksiat. Ibnu Omar memberikan contoh maksiat seperti membunuh binatang buruan, memotong kuku dan bulu ketika ihram. Ibnu Zaid mentafsirkan fusuuq dengan menyembelih untuk berhala. Sheikh Ibnu Uthaimin di dalam Syarah Riadus Solihin pula menyatakan kedua-dua bentuk maksiat, iaitu percakapan seperti mengumpat, fitnah dan berbohong serta maksiat perbuatan seperti melihat aurat wanita, mencuri dan sebagainya.  Imam Qurtubi pula menyimpulkan bahawa haji mabrur diperolehi oleh seseorang yang tidak melakukan sebarang bentuk maksiat sepanjang melakukan ibadat haji dan juga selepasnya. Ini dikuatkan dengan pandangan al-Hassan yang menyatakan bahawa tanda seseorang yang mendapat haji mabrur ialah apabila beliau pulang ke kampung halaman, ia berubah menjadi seorang yang tidak tertipu dengan dunia dan sentiasa merancang untuk kebaikan akhirat.


Larangan ketiga yang mesti dijauhi ialah ”jidaal”. Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas menyatakan bahawa ia bermaksud seseorang berhujjah sehingga menyebabkan lawannya marah dan berakhir dengan memaki hamun. Adapun perbincangan dan saling berhujjah dalam perkara ilmiah secara penuh adab, maka tidak dilarang. Ini adalah suatu takrifan yang menyeluruh kepada istilah ”jidaal”. Suasana ramainya manusia daripada pelbagai latar belakang budaya, kehidupan dan pengetahuan agama menjadikan ibadat haji sangat mencabar terutamanya untuk bersabar menghadapi kerenah-kerenah manusia. Setiap orang disarankan agar memberi tumpuan kepada ibadat masing-masing serta membuang ego yang ada di dalam diri. Ini secara tidak langsung mengelakkan kita terjebak di dalam ”jidaal”.


Mimpi yang aneh

Diceritakan kepada saya oleh seorang sahabat yang tsiqah[1], bahawa ketika beliau masih belajar di Universiti Islam Madinah telah berlaku suatu pengalaman yang menarik. Dalam satu musim haji, sebagaimana biasa radio negara Arab Saudi membuat program soaljawab agama secara langsung berkenaan permasalahan-permasalahan yang berkait dengan ibadat haji. Para pemanggil bertanya soalan dan dijawab oleh pakar-pakar yang ditugaskan. Seorang wanita telah menelefon dan bertanya ”Tuan sheikh, saya telah bermimpi suatu mimpi yang ganjil, bolehkah tuan menafsirkan mimpi saya?”. Ulama tersebut menjawab ”Kita dalam perbincangan berkenaan haji, bukannya mentafsir mimpi. Walaubagaimanapun, sila puan nyatakan apakah mimpi tersebut”. Wanita itu menyambung ”Saya bermimpi melihat seorang lelaki sedang tawaf mengelilingi Ka’abah dalam keadaan telanjang !”. Ulama itu terdiam seketika lantas berkata ” Sebenarnya, lelaki yang puan lihat itu telah mendapat haji yang mabrur. Dia sedang melakukan tawaf wida’ sebelum pulang ke kampung halamannya. Saya menafsirkan sedemikian kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa seseorang yang mendapat haji mabrur akan pulang sebagaimana hari ia dilahirkan. Setiap orang dilahirkan dalam keadaan telanjang. Puan, sampaikan berita gembira kepada lelaki tersebut sekiranya puan mengenalinya. Ini adalah isyarat gembira daripada Allah s.w.t. kepadanya”. Lalu wanita itu menjawab spontan, dengan penuh emosi ”Demi Allah sheikh, orang yang saya lihat dalam mimpi itu adalah tuan sendiri !”. Tiba-tiba ulama tersebut terus sebak dan tidak dapat meneruskan soaljawab pada hari tersebut.

Subhaanallah ! Ada manusia yang beroleh nikmat sehebat ini. Keikhlasan dan kesungguhan menjaga tatatertib ibadah yang didasari dengan ilmu serta kefahaman akhirnya menatijahkan kejayaan dan keindahan bukan sahaja di akhirat tetapi dapat dikecapi sejak di dunia lagi. Ya Allah, kurniakan kepada kami haji yang mabrur...



[1] Boleh dipercayai ( bukan cerita rekaan )

1 comment:

  1. Assalam ustaz, saya Muhammad Haziq Kamarul Zaman. Lepasan SPM 2012. Nak bertanya sikit la ustaz, saya ada terbaca artikel yang menyatakan ustaz bekas pelajar salah satu universiti di Yaman. Bagaimana caranya untuk menyambung pelajaran ke bumi Yaman? Saya banyak dengar orang berkata yang universiti di Yaman tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaaysia. Apakah ustaz boleh bagi saya nasihat tentang belajar di Yaman? Terima Kasih

    ReplyDelete