TUJUH
GOLONGAN VIP DI AKHIRAT
Rasulullah
s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam
sepotong hadis baginda yang bermaksud ; “ Didekatkan matahari pada hari Kiamat
kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau
akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut
kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi
peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke
pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke
mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )
Pada
saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada
kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak
dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh
Allah. Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh
Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ; “ Tujuh
golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan
teduhan yang diberikan oleh Allah”.
Mereka ialah :
1)
PEMIMPIN
YANG ADIL
Golongan
ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi
calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin,
diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan
meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan
Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan
tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi
Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’
al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam
kepimpinannya.
2)
REMAJA
YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN
Usia
remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada
melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja
sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan
menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke
dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif
kepada masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan
gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan,
berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa
dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan
sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan
janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak
sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu
maksiat pada usia remajanya.
3)
PENCINTA
MASJID
Sepanjang
sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan
masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan
fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid
pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu
institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini
mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16
iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa
mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan
tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.
4)
DUA
INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
Berkasih
sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh
dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang
dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi.
Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana
wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi
yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat
nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang
sangat bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya.
Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan
sesudah itu adalah untuk urusan agama.
5)
DIGODA
BERZINA
Golongan
kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina
oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata
‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa
hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping
pangkat yang dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman
atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak
muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan
kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama
panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan
oleh Allah.
6)
MENYEMBUNYIKAN
SEDEKAH
Ada
insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan
untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah
untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah s.a.w
mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang
diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia
sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah
sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah
dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya
melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan
para sahabat Rasulullah s.a.w.
7)
MENGINGATI
ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA
Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah
tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka
memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum
tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat
dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam
melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan
pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir
di pipi, semata-mata kerana Allah.
salam ustaz, artikel yang bermanfaat. Mohon share di blog saya.
ReplyDelete